BH Online
Ringkasan Berita

Perjuangan pemain negara di Terbuka Australia berakhir

KUALA LUMPUR: Perjalanan sensasi beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan di Terbuka Australia berakhir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, hari ini.
Perjuangan pemain negara di Terbuka Australia berakhir

Beregu wanita kebangsaan, Noraqilah Maisarah dan Low Zi Yu. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Perjalanan sensasi beregu wanita negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan di Terbuka Australia berakhir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, hari ini.

Pasangan muda negara yang menghuni ranking ke-84 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan lawan yang berada di ranking ke-15 dunia apabila tunduk 13-21, 17-21 dalam tempoh 43 minit di Quaycentre, Sydney.

Ia pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan dalam kejohanan berstatus Jelajah Dunia Super 500 itu.

Febriana-Meilysa hadir dengan reputasi besar apabila berstatus naib juara Terbuka Australia tahun lalu selain pemenang pingat perak Sukan Sea, dan pengalaman itu jelas membantu mereka mengawal permainan sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak sedikit pun menjejaskan penilaian positif terhadap pencapaian Zi Yu-Noraqilah yang mencuri tumpuan sepanjang kejohanan.

Malah, penampilan mereka wajar diberikan pujian selepas berjaya menewaskan dua pasangan kelompok 10 terbaik dunia tahun ini, termasuk pasangan Jepun yang berada di ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Lebih membanggakan, Terbuka Australia adalah kejohanan kedua mereka di pentas berkenaan sejak digandingkan, selepas terkandas seawal pusingan pertama di Masters Malaysia, bulan lalu.

Perkembangan positif itu memberi petanda gandingan berkenaan semakin serasi dan berpotensi menjadi antara sandaran utama negara pada masa depan.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut berakhir apabila Justin Hoh gagal melepasi halangan wakil Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah.

Justin yang berusaha mencari rentak permainan terpaksa akur tewas 7-21, 13-21 dalam masa 38 minit.

Kekalahan Zi Yu-Noraqilah dan Justin sekali gus menamatkan perjuangan kem badminton negara di Terbuka Australia kali ini.

Tahun lalu, Malaysia membawa pulang gelaran menerusi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang muncul juara kejohanan berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan