BH Online
Ringkasan Berita

Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Indonesia selepas melakar kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, hari ini.
Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir Terbuka Indonesia

Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Indonesia selepas menewaskan gandingan tuan rumah. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Indonesia selepas melakar kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, hari ini.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan gandingan ranking kesembilan dunia berkenaan 21-15, 21-19 dalam tempoh 41 minit, sekali gus menempah tempat dalam kelompok lapan terbaik kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Lebih manis, kemenangan itu hadir di hadapan ribuan penyokong Indonesia yang memenuhi arena selain menjadi kemenangan pertama Soon Huat-Shevon ke atas Jafar-Felisha selepas tewas tiga kali dalam pertemuan sebelum ini.

Soon Huat berkata, mereka berjaya mengawal rentak permainan dengan baik selain dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sepanjang perlawanan.

"Kami berjaya mengawal rentak dan kelajuan permainan dengan baik. Kami juga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan angin di gelanggang selain mengekalkan komunikasi yang baik sepanjang perlawanan," kata Soon Huat.

Shevon pula mengakui mereka berjaya memanfaatkan kesilapan lawan untuk memastikan kemenangan menjadi milik pasangan negara.

"Kami berjaya mengawal permainan dengan baik dan lawan melakukan lebih banyak kesilapan hari ini. Kami mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk mendapatkan mata dan seterusnya memenangi perlawanan," kata Shevon.

Menanti Soon Huat-Shevon di suku akhir ialah pemenang pertemuan antara pasangan India, Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde dan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang berlangsung kemudian.

Video Terkini

Berita Berkaitan