KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan bermula Rabu ini sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Thomas.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengesahkan pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu akan menyertai kem latihan pusat bersama pemain lain di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Kehadiran bekas juara Seluruh England itu dijangka menjadi 'X-factor' penting dalam memperkuatkan pasukan negara menjelang kejohanan berprestij berkenaan.
"Zii Jia akan menyertai latihan pada Rabu," kata Seu Bock.
Zii Jia yang dijangka menggalas peranan sebagai perseorangan ketiga bakal menjadi sandaran penting dalam usaha Malaysia merampas semula kejuaraan Piala Thomas yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Dia sebelum ini turut bersetuju menyertai kem latihan berpusat di Herning, Denmark bermula 14 April, sekali gus membuktikan kesungguhan untuk mencapai tahap terbaik selain memantapkan keserasian bersama rakan sepasukan.
Sementara itu, pemain nombor 23 dunia, Leong Jun Hao akan mengetuai cabaran perseorangan negara selaku pemain pertama, diikuti Justin Hoh (40) sebagai perseorangan kedua.
Dalam perkembangan lain, Aidil Sholeh Ali Sadikin sudah memulakan latihan di ABM sejak Isnin lalu.
Jurulatihnya, Nova Armada berkata pemain profesional itu yang berada di ranking ke-52 dunia itu akan mengikuti program latihan Piala Thomas yang dirangka pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen.
Aidil akan terus menjalani latihan di ABM sehingga skuad negara berlepas ke Herning pada 14 April, manakala Jun Hao dan Justin dijadual menyertai Kejohanan Badminton Asia dari 7 hingga 12 April sebagai persiapan terakhir menjelang Piala Thomas.
























