BH Online
Ringkasan Berita

Wooi Yik kekal bersama BAM

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan Soh Wooi Yik kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun pemain itu menukar status di Instagram kepada ‘pemain badminton profesional’.
Wooi Yik kekal bersama BAM

Wooi Yik giat menjalani persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia. STR/RAIHANA MANSOR

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan Soh Wooi Yik kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun pemain itu menukar status di Instagram kepada 'pemain badminton profesional'.

Herry menolak spekulasi bahawa Wooi Yik akan meninggalkan skuad kebangsaan untuk bergerak secara profesional selepas perubahan status berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.

"Wooi Yik masih bersama BAM. Mungkin itu hanya pandangan peminat badminton," katanya hari ini.

Dalam masa sama, Herry memaklumkan gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Wooi Yik kini giat membuat persiapan bagi mempertahankan gelaran di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 7 hingga 12 April ini.

Pasangan pilihan kedua itu berdepan laluan sukar apabila dijadual memulakan kempen menentang pasangan Taiwan, Chia Hsiang Chieh-Wang Chi Lin yang menghuni ranking ke-12 dunia.

Cabaran dijangka lebih getir di pusingan kedua apabila mereka berpotensi bertemu pasangan meningkat naik China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi, sebelum kemungkinan berdepan sama ada pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi atau gandingan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin di suku akhir.

Sekiranya mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik berkemungkinan bertemu sama ada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Shohibul Fikri sebelum dijangka berdepan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di pentas final.

Pasangan negara sebelum ini tewas kepada gandingan Korea itu pada Terbuka Malaysia Januari lalu dan juga di Seluruh England tiga minggu lalu, kedua-duanya dalam pertarungan tiga set yang sengit.

"Saya harap mereka dapat bertemu pasangan Korea itu di final. Untuk menewaskan mereka, kami perlu bermain secara menyerang kerana jika bertahan, sukar untuk menandingi mereka," kata Herry.

Video Terkini

Berita Berkaitan