BH Online
Ringkasan Berita

Lyles mara ke final 200m, Hiltz kuasai 1,500m

NEW YORK: Nikki Hiltz merangkul gelaran keempat berturut-turut acara 1,500 meter luar dewan Amerika Syarikat (AS), manakala Noah Lyles dan Melissa Jefferson-Wooden mara dengan bergaya ke final 200m pada Kejohanan Olahraga AS, awal pagi tadi.
Lyles mara ke final 200m, Hiltz kuasai 1,500m

Noah Lyles (kiri) dan Jordan Urrutia bersaing dalam saringan kedua acara 200m lelaki pada Kejohanan Olahraga AS di Stadium Icahn, New York. – Foto AFP

NEW YORK: Nikki Hiltz merangkul gelaran keempat berturut-turut acara 1,500 meter luar dewan Amerika Syarikat (AS), manakala Noah Lyles dan Melissa Jefferson-Wooden mara dengan bergaya ke final 200m pada Kejohanan Olahraga AS, awal pagi tadi.

Hiltz menang dalam perlumbaan dramatik apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 4 minit 6.92 saat, mengatasi Addy Wiley yang ketinggalan 0.04s, manakala Emily Mackay di tempat ketiga dengan masa 4:06.98s.

Atlet kelahiran California berusia 31 tahun itu turut memenangi empat gelaran 1,500m dalam dewan AS berturut-turut, sekali gus menghadiahkannya rekod kebangsaan lapan gelaran berturut-turut secara keseluruhan menerusi kemenangan di Stadium Icahn, New York.

"Saya sukakan bandar ini. Ibu saya berasal dari Long Island, jadi saya rasa sebahagian daripada diri saya berasal dari sini," kata Hiltz.

Namun kehadiran neneknya di tempat duduk penonton menjadi pembakar semangat Hiltz pada saat-saat terakhir perlumbaan.

"Dia tidak datang ke banyak kejohanan, jadi saya perlu memberikan persembahan terbaik," kata Hiltz.

"Pada 50 meter terakhir saya beritahu diri sendiri, ini untuk nenek."

lyles26726b
Nikki Hiltz (tengah) melintasi garisan penamat untuk menjuarai acara 1,500m wanita. – Foto AFP

Juara dunia 200m, Lyles, yang juga juara dunia empat kali acara itu, mara ke final 200m selepas memenangi saringan dengan catatan 20.51s, sehari selepas menjuarai final 100m pada Jumaat.

"Kaki saya masih letih," kata Lyles. "Tetapi itulah gunanya pusingan saringan. Menjelang penghujung hari saya akan mendapat rehat secukupnya, berjumpa pasukan perubatan dan kami akan bersedia untuk final."

Lyles, 29, memegang rekod kebangsaan AS bagi acara 200m dengan catatan 19.31s yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2022 di Eugene.

Jefferson-Wooden, yang memenangi gelaran 100m, 200m dan 4x100m di Kejohanan Dunia 2025, memulakan usaha mempertahankan gelaran kebangsaan AS acara 200m apabila mara ke final dengan catatan 22.50s, memperlahankan larian sebelum garisan penamat tetapi tetap mencatat masa terpantas pusingan saringan.

"Perkara paling penting hari ini adalah keluar dengan baik, mengekalkan rentak dan merasai frekuensi larian ketika melalui selekoh, kemudian sebaik keluar daripada selekoh saya hanya mempercayai kemampuan saya cukup kuat untuk menjimatkan tenaga sebanyak mungkin," kata Jefferson-Wooden.

"Saya rasa saya berjaya melakukannya." – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan