KUALA LUMPUR: Pelari muda negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira membuktikan status pilihan apabila muncul juara acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jawa Tengah 2026, hari ini.
Bermula di lorong empat pada aksi final, Izzatul Musfirah tampil cukup meyakinkan apabila melakukan permulaan baik sebelum terus menguasai perlumbaan ketika memasuki pertengahan saingan.
Pelari muda itu kemudian tidak menoleh ke belakang apabila menjadi atlet pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 12.08 saat (s) untuk membawa pulang pingat emas.
Tempat kedua menjadi milik wakil DKI Jakarta, Daniella Elim A Datu yang mencatat 12.32s, manakala gangsa diraih atlet PASI Jawa Timur, Faustina S Fanny A dengan masa 12.456s.
Kejayaan itu menyaksikan Izzatul Musfirah terus mengukuhkan momentum dalam persiapannya menghadapi saingan yang lebih besar, terutama menjelang Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat, dari 5 hingga 9 Ogos dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang akan bermula 15 Ogos depan.
Dalam acara 100m lelaki pula, Danish Ifran turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat perak selepas merekodkan masa 10.971s dalam aksi final.
Pingat emas dimenangi Bayu Kertanegara dari DKI Jakarta dengan catatan 10.67s, manakala Muhammad Umaira melengkapkan podium dengan masa 10.80s.

















