BH Online
Ringkasan Berita

Sasaran buat Irfan, Grace

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan ratu baling tukul besi, Grace Wong diharap mampu mengulangi pencapaian mara ke final pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Sasaran buat Irfan, Grace

Irfan disasarkan mara ke final Sukan Komanwel Glasgow 2026.

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan ratu baling tukul besi, Grace Wong diharap mampu mengulangi pencapaian mara ke final pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, sasaran itu realistik mengambil kira pengalaman kedua-dua atlet yang pernah beraksi di pentas akhir pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain persaingan sengit yang bakal menanti di Glasgow.

Katanya, temasya itu juga menjadi medan terbaik buat kedua-dua atlet mengukur prestasi menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September depan.

"Harapan kita memang mahu mereka sekurang-kurangnya sampai ke peringkat akhir, iaitu dalam kelompok 12 terbaik.

"Temasya besar seperti ini persaingannya memang hebat, jadi kalau mereka berada dalam kelompok 12 terbaik negara Komanwel, itu satu pencapaian yang baik.

"Pada masa sama, kita mengharapkan mereka dapat mencipta rekod peribadi baharu di temasya kali ini sebelum menuju ke Sukan Asia nanti," katanya.

Irfan hadir ke Glasgow dengan momentum positif selepas memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi lontaran 62.87 meter (m) untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Memorial Jozsef Mozsdenyi di Hungary bulan lalu.

Pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Irfan menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan catatan 59.53m.

Sementara itu, Grace yang kini menjalani latihan di China di bawah bimbingan jurulatih Gu Yuan memegang rekod kebangsaan baling tukul besi wanita dengan catatan 65.41m yang dilakukan pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan di tempat ke-10 pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas melakukan lontaran sejauh 61.30m.

Acara olahraga pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 27 Julai hingga 1 Ogos.

Video Terkini

Berita Berkaitan