KUALA LUMPUR: Empat atlet muda negara mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun (B-20) Dunia 2026 di Oregon, Amerika Syarikat dari 5 hingga 9 Ogos ini.
Empat atlet terbabit ialah Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Muhamad Airiel Iskandar Rusli, Avinaash Nair Sathiseelan dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira.
Mereka mengesahkan tempat selepas melepasi Had Kelayakan Ranking (Ranking Qualification Standard - RQS) yang ditetapkan World Athletics.
Penyertaan itu dilihat sebagai satu lagi petanda positif terhadap perkembangan program pembangunan olahraga negara yang berjaya melahirkan lebih ramai atlet muda berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Danish dan Airiel menjadi sandaran utama dalam acara 100 meter lelaki, manakala Avinaash akan membawa cabaran dalam acara 400m lari berpagar.
Izzatul Musfirah pula akan beraksi dalam 100m wanita dan dia turut menjadi antara tonggak kuartet 4x100m wanita yang sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kejohanan di Oregon itu menjadi platform terbaik buat mereka menguji kemampuan menentang barisan pelapis terbaik dunia, selain mengutip pengalaman berharga yang mampu membantu perkembangan karier masing-masing.
























