KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Terbuka Indonesia yang membuka tirai esok dianggap medan penting buat kuartet 4x100 meter (m) wanita negara mengukur tahap kesiapsiagaan sebelum mengharungi cabaran lebih besar di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September ini.
Penyelaras Program Kejurulatihan Olahraga Malaysia (MA), Manshahar Abdul Jalil berkata, kejohanan itu bukan sekadar peluang memburu pingat, sebaliknya platform untuk menilai prestasi sebenar serta keserasian pasukan selepas mengharungi beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.
"Kami mahu melihat kembali keserasian empat pelari wanita negara kerana mereka sudah beberapa kali beraksi bersama di kejohanan antarabangsa.
"Cabaran utama ialah mereka tidak dapat berlatih bersama secara konsisten kerana masing-masing mempunyai komitmen pengajian. Selepas kejohanan di Indonesia, kami akan cuba mengumpulkan mereka dengan lebih kerap untuk latihan," katanya.
Menurut Manshahar, sasaran utama di Indonesia adalah mencatat masa terbaik pasukan, manakala sebarang pingat yang diraih dianggap sebagai bonus menjelang Sukan Asia.
"Sudah pasti ini adalah ujian prestasi buat pasukan 4x100m wanita. Saya mengharapkan mereka mampu mencatat masa terbaik pasukan kerana itu lebih penting daripada pingat. Bagaimanapun, saya tetap yakin peluang untuk membawa pulang pingat itu ada," katanya.
Sementara itu, pelari pecut negara, Nur Aishah Rofina Aling berkata, kuartet negara menyasarkan untuk mencipta catatan terbaik musim (SB) dengan menembusi masa bawah 45 saat (s), sekali gus menghampiri rekod kebangsaan 44.58s.
Untuk rekod, kuartet yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Nurul Wardatul Huwaida Hamka dan Nur Aishah Rofina Aling muncul juara pada Terbuka Filipina bulan lalu dengan catatan 45.63s, dan barisan sama dijangka dikekalkan di Indonesia serta berkemungkinan menjadi kuartet utama negara ke Sukan Asia.
























