BH Online
Ringkasan Berita

Prabudass, Haziq ungguli SCORE Marathon, acara cipta rekod MBOR

PUTRAJAYA: Dua pelari jarak jauh negara, K Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah membuktikan keunggulan masing-masing apabila muncul juara kategori Terbuka Lelaki Malaysia dalam acara 21 kilometer (km) dan maraton penuh 42km pada SCORE Marathon 2026 di sini, hari ini.
Prabudass, Haziq ungguli SCORE Marathon, acara cipta rekod MBOR

Pelari maraton profesional negara, Haziq Hamzah menamatkan larian 42 kilometer di tempat pertama bagi kategori warganegara Malaysia pada SCORE Marathon 2026 di Putrajaya hari ini. - BERNAMA

PUTRAJAYA: Dua pelari jarak jauh negara, K Prabudass dan Muhammad Haziq Hamzah membuktikan keunggulan masing-masing apabila muncul juara kategori Terbuka Lelaki Malaysia dalam acara 21 kilometer (km) dan maraton penuh 42km pada SCORE Marathon 2026 di sini, hari ini.

Prabudass cemerlang apabila mengungguli saingan 21km dengan catatan masa satu jam 13 minit 4 saat (1:13:04), sekali gus mengetepikan cabaran G. Vimal yang menduduki tempat kedua dengan masa 1:13:58 dan Lai Yi Hng (1:14:57) di tempat ketiga.

Walaupun baru menyertai perlumbaan lain dua minggu lalu, atlet berusia 36 tahun itu masih mampu mengekalkan rentak untuk muncul juara, biarpun mengakui faktor usia dan keletihan menuntutnya lebih bijak menguruskan strategi perlumbaan.

"Saya datang ke sini untuk menjadi sebahagian daripada sejarah rekod 50,000 peserta dan gembira dapat berlari semula dengan rakan-rakan lama.

"Mengenai rekod kebangsaan, saya akan lihat tahap latihan dahulu. Jika prestasi memberangsangkan, tidak mustahil saya akan memecahkannya lagi di luar negara," katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Pemegang rekod kebangsaan separuh maraton dengan catatan 1:06:53 itu berkata, kebanyakan kejayaannya sebelum ini dicapai tanpa blok latihan khusus, sebaliknya lebih selesa menyesuaikan diri mengikut keadaan perlumbaan dan memberikan aksi terbaik pada hari kejohanan.

Sementara itu, Haziq muncul juaraacara maraton penuh 42km selepas merekodkan masa 2 jam 44 minit 45 saat (2:44:45), mengatasi Lim Kok Leong yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua (2:48:53) dan Mohamad Amirul Arif Mohd Azri di tempat ketiga (2:49:33).

Haziq yang baru beraksi dalam perlumbaan di Gold Coast, Australia mengakui laluan berbukit di Putrajaya serta cuaca panas menjadi cabaran utama, namun bersyukur mampu mengawal perlumbaan dengan baik.

"Alhamdulillah untuk kemenangan kali ini. Fokus saya selepas ini adalah untuk persiapan ke Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan menyifatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Acara Larian Terbesar di Malaysia menjadi pencapaian penting buat SCORE Marathon yang mula dianjurkan sejak 2014.

Pengiktirafan itu dicapai selepas penganjuran kali ini berjaya menghimpunkan 51,077 peserta sepanjang dua hari membabitkan acara 5km, 10km, 21km dan 42km.

"Sejak 2014, kami sentiasa berusaha meningkatkan standard penganjuran. Bajet kami tahun ini lebih banyak digunakan untuk memberi nilai tambah kepada peserta dan kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelari luar negara pada masa hadapan bagi merancakkan pelancongan sukan negara," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan