BH Online
Ringkasan Berita

Armin pecah rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR: Atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif berjaya memecahkan rekod kebangsaan ketika mengesahkan tempat ke final Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China.
Armin pecah rekod kebangsaan

Atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif memadam rekod kebangsaan milik Rayzam Shah Wan Sofian. - Foto FB Olahraga Malaysia

KUALA LUMPUR: Atlet 110 meter (m) lari berpagar negara, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif berjaya memecahkan rekod kebangsaan ketika mengesahkan tempat ke final Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China.

Menurut hantaran Facebook rasmi Olahraga Malaysia, Mohamad Armin yang juga juara Terbuka Singapura, April lalu mencatat masa 13.63 saat (s) pada saringan pertama sekali gus memadam rekod kebangsaan 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dilakar pada 2017.

Pada perlumbaan saringan pertama, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang atlet China Shiqi Zhao yang mencatat 13.58s, manakala wakil Thailand Sutthahathai Phrambut di tempat ketiga dengan masa 13.99s.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Elvin Yap Zhi Xuan turut melangkah ke final selepas menamatkan saringan kedua di tempat ketiga dengan catatan masa 13.72s, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.

Saringan kedua dimenangi wakil tuan rumah Zhang Zijun dengan catatan 13.61s, manakala Oumar Doudai O Abakar dari Qatar berada di tempat kedua selepas merekodkan masa 13.68s.

Final acara 110m lari berpagar dijadual berlangsung pada 6 petang esok.

Sebagai rekod, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi memenangi pingat emas acara 100m pada Khamis lalu sebelum tersingkir daripada saingan final 200m susulan false start atau salah mula semalam.

Video Terkini

Berita Berkaitan