KUALA LUMPUR: Impian pelari muda negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira untuk beraksi di pentas dunia akhirnya menjadi kenyataan apabila berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat, dari 5 hingga 9 Ogos depan.
Kejayaan itu hadir selepas pelari berusia 18 tahun itu mencatat masa 11.71 saat (s) pada final Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium UPM, semalam, sekali gus layak secara merit berdasarkan had kelayakan ditetapkan iaitu 11.78s.
Menurut Izzatul, kejayaan berkenaan adalah impian yang sudah lama diidamkan dan dia bersyukur kerana segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil selepas beberapa kali mencuba dalam kejohanan tahun ini.
"Sejujurnya saya sangat gembira kerana layak ke Kejohanan Dunia B-20 memang menjadi impian saya sejak sekian lama.
"Alhamdulillah, dengan izin dan rezeki Allah, saya berpeluang bersaing dengan atlet-atlet junior terbaik dunia di pentas antarabangsa," katanya.
Untuk rekod, catatan masa yang dilakukan pelari kelahiran Terengganu itu menjadi catatan masa terbaik peribadi (PB) buat dirinya dan Izzatul mengakui tidak menjangkakan mampu merekodkan masa sedemikian selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat.
"Saya sangat bersyukur dengan catatan masa yang agak mengejutkan diri sendiri kerana baru pulang daripada Terbuka Filipina dan beberapa kejohanan lain.
"Saya juga tidak mendapat rehat yang cukup, namun catatan itu menunjukkan perkembangan positif dan meningkatkan lagi keyakinan untuk mencatat masa lebih baik pada Sukma nanti," katanya yang menamatkan larian di tempat kedua selepas dibezakan dengan masa hanya 0.01 saat berbanding ratu pecut negara dalam acara itu, Nur Aisyah Rofina Aling.
Selepas ini, Izzatul bertekad untuk membantu Terengganu meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ogos depan selain memburu rekod baharu di kejohanan berkenaan.
"Untuk Sukma, saya akan cuba sedaya upaya menyumbangkan pingat emas kepada Terengganu dan pada masa sama memburu catatan masa terbaik peribadi serta rekod kejohanan dalam setiap acara yang saya sertai.
"Di Oregon pula, saya mahu mengutip pengalaman berharga dan menikmati setiap rentak larian ketika bersaing dengan atlet-atlet terbaik dunia," katanya yang turut cemerlang meraih gangsa 100m dengan catatan 11.86s.
Sementara itu, jurulatihnya, Khairul Azman mengakui tidak menjangkakan Izzatul mampu mencatat masa yang begitu baik berikutan keadaan angin kurang memihak kepada pelari.
"Sejujurnya saya agak terkejut dengan catatan masa itu kerana angin dari hadapan sangat kuat sejak peringkat separuh akhir lagi.
"Namun saya tetap yakin Izzatul mampu melakukan masa lebih pantas jika keadaan angin menyebelahi. Saya juga menjangkakan saingan sengit daripada Aisyah Rofina yang pasti mahu bangkit selepas kekalahan di Terbuka Filipina. Alhamdulillah, kedua-dua mereka berjaya mencatat masa terbaik peribadi masing-masing," katanya.
























