Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pelari pecut negara, Azeem Fahmi membantu kuartet 4x100 meter (m) Universiti Auburn meraih pingat emas ketiga dalam Kejohanan Olahraga NCAA tidak kesampaian apabila baton terjatuh, sekali gus menyebabkan penyertaan mereka dibatalkan.
Dalam perlumbaan itu, Azeem yang bertindak sebagai pelari pertama memulakan larian dengan cukup baik dan momentum itu diteruskan oleh pelari kedua. Namun, masalah timbul ketika pertukaran baton antara pelari ketiga dan keempat, iaitu Austin Kresley dan Tyler Davis yang dilihat kurang kemas.
Keadaan itu menyebabkan kuartet pilihan kejohanan berkenaan terpaksa membayar harga mahal apabila baton berkenaan gagal diselamatkan sebelum terjatuh.
Insiden itu jelas mengecewakan dan reaksi Tyler juga memperlihatkan dia tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku kerana kuartet berkenaan berada di landasan tepat untuk memastikan pingat emas menjadi milik mereka.
Terdahulu, dalam kejohanan yang sama, kuartet Auburn yang dibarisi Azeem, Kanyinsola Ajayi, Kresley dan Tyler mencatat masa luar biasa 37.75 saat (s) pada saingan separuh akhir untuk memperbaharui rekod kolej yang sebelum ini dipegang oleh LSU menerusi catatan 37.90s.
Catatan itu bukan sahaja menyaksikan Auburn mara ke final sebagai pasukan terpantas, malah muncul pasukan pertama dalam sejarah NCAA yang mencatat masa di bawah 37.80s.
Sementara itu, Olahraga Malaysia (MA) menyifatkan kegagalan Auburn University mempertahankan gelaran di Kejohanan Olahraga NCAA di Eugene, Oregon berpunca daripada kesilapan kecil ketika pertukaran baton yang menjejaskan peluang pasukan itu meraih kemenangan.
"Walau bagaimanapun, pencapaian Azeem sepanjang musim ini tetap membanggakan rakyat Malaysia. Dia mempamerkan prestasi cemerlang di pentas NCAA dan terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," kata MA menerusi kenyataan di Facebook rasmi mereka.
























