KUALA LUMPUR: PETRONAS tampil memberi penjelasan berhubung status pemilikan serta hak penamaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) susulan pengumuman penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober depan.
PETRONAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menghargai sambutan positif peminat terhadap kepulangan Formula 1 ke Sepang, namun mahu memperjelaskan beberapa perkara berkaitan peranan syarikat itu.
Menurut PETRONAS, walaupun syarikat berkenaan memegang hak penamaan SIC, litar terbabit sebenarnya dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.).
"SIC dimiliki oleh Sepang International Circuit Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), dan dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan," menurut kenyataan itu.
PETRONAS turut menjelaskan bahawa syarikat minyak nasional itu bukan penganjur acara Formula 1 tersebut dan tidak terlibat dalam urusan pengurusan perlumbaan.
Justeru, PETRONAS tidak mengurus, mengawal atau mempunyai akses terhadap urusan peruntukan tiket, jualan tiket mahupun pengedaran tiket kepada peminat.
"Penjualan tiket dikendalikan sepenuhnya oleh penganjur acara serta saluran rasmi yang diberi kuasa," katanya.
Kepulangan Formula 1 ke Sepang mendapat perhatian besar selepas Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah perlumbaan berkenaan pada 2017 selepas 19 tahun penganjuran bermula 1999.
Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Sepang akan menjadi sebahagian daripada kalendar Kejuaraan Dunia Formula 1 dan dijangka menarik kehadiran peminat tempatan serta antarabangsa.
























