BH Online
Ringkasan Berita

Tunku Abdul Rahman imbau memori F1 di Sepang

KUALA LUMPUR: Kepulangan Formula Satu (F1) ke Malaysia selepas sembilan tahun bukan sekadar berita besar buat peminat sukan permotoran, malah menghidupkan kembali kenangan manis yang pernah terukir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Tunku Abdul Rahman imbau memori F1 di Sepang

Tunku Abdul Rahman. Foto: JMR

KUALA LUMPUR: Kepulangan Formula Satu (F1) ke Malaysia selepas sembilan tahun bukan sekadar berita besar buat peminat sukan permotoran, malah menghidupkan kembali kenangan manis yang pernah terukir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim, pengumuman itu membawa makna istimewa selepas membesar bersama kemeriahan perlumbaan F1 yang pernah menjadi antara acara sukan paling dinanti-nantikan di negara ini.

"Saya amat bersyukur atas kesepakatan yang dicapai oleh Raja Bahrain, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, dan juga Kebawah Duli Tuanku Agong yang membawa kepada berita mengujakan ini.

"Kembalinya F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun sememangnya satu berita yang amat baik untuk negara, terutamanya bagi peminat sukan permotoran.

"Malah ia juga mengujakan untuk para pemandu F1 sendiri serta pasukan mereka yang dalam kalangannya ada yang pernah dan juga belum pernah beraksi di sini," kata Tunku Abdul Rahman dalam satu hantaran kepada media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SIC akan menjadi venue bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober ini sekali gus menyaksikan kembalinya perlumbaan berprestij dunia itu ke Malaysia selepas kali terakhir pada 2017.

Mengimbas kembali hubungan peribadinya dengan Sepang, Tunku Abdul Rahman yang juga pemandu pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) berkata, litar berkenaan menyimpan kenangan yang sukar dilupakan sejak zaman kanak-kanak, terutama ketika menyaksikan era kegemilangan F1 bersama Almarhum nenda baginda.

"Sepang sememangnya istimewa kenangannya untuk saya, dari menyaksikan F1 buat pertama kali bersama Almarhum Nenda saya pada awal tahun 2000an... zaman Schumacher, sampailah ke perlumbaan terakhir pada 2017. Penganjuran ini akan mengharumkan nama negara di tahap antarabangsa.

"Saya berharap pihak penganjur, termasuk pihak Litar Antarabangsa Sepang sendiri dapat memberi pengalaman yang manis buat para pengunjung ke perlumbaan ini nanti, terutamanya bagi peminat-peminat tempatan Malaysia kerana sudah lama kita menanti dan mengharapkan perlumbaan F1 kembali ke halaman kami.

"Sukan ini banyak berkembang maju dan penganjurannya di sini akan mempamerkan sebuah acara taraf dunia sekaligus memberi inspirasi kepada kemajuan bidang permotoran Malaysia secara keseluruhannya - bukan sahaja dari segi pembangunan atlet, tetapi juga infrastrukturnya serta ekosistem sukan permotoran itu sendiri," kata Tunku Abdul Rahman.

Video Terkini

Berita Berkaitan