BH Online
Ringkasan Berita

Sepang sedia sambut semula Formula 1

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersedia menggalas tanggungjawab menganjurkan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia, sekali gus menandakan kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Sepang menerusi kerjasama membabitkan Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia.
Sepang sedia sambut semula Formula 1

SIC bersedia menggalas tanggungjawab menganjurkan F1 GP Bahrain di Malaysia, sekali gus menandakan kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Sepang. Foto: Fail AFP

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersedia menggalas tanggungjawab menganjurkan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia, sekali gus menandakan kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Sepang menerusi kerjasama membabitkan Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia itu dan komited memastikan penganjurannya memenuhi standard tertinggi Formula 1.

"Bagi pihak SIC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia serta Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan atas sokongan padu dan keyakinan diberikan sehingga membolehkan Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain di SIC.

"Sokongan dan persetujuan mereka menjadi pemangkin utama kepada terjalinnya kerjasama bersejarah ini, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa bertaraf dunia," kata Shafriman dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafriman, SIC turut berbangga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Bahrain dan Litar Antarabangsa Bahrain dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan berkenaan di Sepang.

Mengimbas sejarah Formula 1 di Sepang, Shafriman berkata litar itu pernah menjadi antara venue paling ikonik dalam kalendar perlumbaan dunia selama hampir dua dekad, menyaksikan pelbagai perlumbaan dramatik dan persaingan legenda tercipta.

"Walaupun Formula 1 tidak lagi berlumba di Sepang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat sukan itu tidak pernah meninggalkan litar ini.

"Sebagai litar bertaraf FIA Gred 1, kami terus melabur dalam aspek kemudahan, pembangunan tenaga kerja dan keupayaan operasi bagi memastikan kami sentiasa bersedia untuk menganjurkan acara yang memenuhi standard tertinggi Formula 1.

"Lebih daripada sekadar perlumbaan, kerjasama ini membuka peluang untuk mengetengahkan Malaysia di pentas dunia, memperkukuh sektor pelancongan, menjana nilai ekonomi serta memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat sukan permotoran," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan