BUDAPEST: Lando Norris menamatkan kemarau kemenangan perlumbaan musim ini apabila muncul juara Grand Prix (GP) Hungary, hari ini mengatasi Max Verstappen manakala pendahulu kejuaraan, Kimi Antonelli melengkapkan podium di tempat ketiga.
Pemandu McLaren itu bermula dari petak pertama, namun kehilangan kedudukan pendahulu kepada rakan sepasukan, Oscar Piastri pada pusingan pertama sebelum bangkit menguasai semula perlumbaan untuk meraih kemenangan sulung musim ini.
Hasrat McLaren untuk mencipta kemenangan satu-dua musnah selepas Piastri terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal dengan baki 15 pusingan apabila berdepan masalah kotak gear ketika berada di tempat kedua di belakang Norris.
Kejayaan di Litar Hungaroring itu menyaksikan Norris, juara dunia bertahan, muncul pemenang GP Hungary buat kali kedua berturut-turut selain menjadi pemandu kelima berbeza memenangi lima perlumbaan terakhir.
Sebelum ini, Norris hanya memenangi perlumbaan pecut di Miami pada Mei lalu, manakala kemenangan terakhirnya dalam perlumbaan utama hadir di Sao Paulo pada November tahun lalu.
Verstappen pula menyamai keputusan terbaiknya musim ini meskipun Red Bull melalui hujung minggu yang sukar di Hungary.
Antonelli berjaya melebarkan kelebihan di puncak kedudukan kejuaraan kepada 50 mata mengatasi Lewis Hamilton selepas memulakan perlumbaan dari tempat ketujuh susulan penalti tiga grid yang diterimanya pada sesi kelayakan.
Hamilton yang bermula di tempat keempat akhirnya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima selepas dikenakan penalti lima saat kerana memandu melebihi had laju di lorong pit, sekali gus kehilangan tempat kepada rakan sepasukan Ferrari, Charles Leclerc.
Saingan Formula Satu (F1) kini memasuki cuti musim panas sebelum kembali menerusi GP Belanda di Zandvoort pada 23 Ogos depan.
























