BH Online
Ringkasan Berita

Pemilihan Sepang bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia - PM

KUALA LUMPUR: Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Pemilihan Sepang bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia - PM

Anwar berkata GP Bahrain di Sepang mencerminkan hubungan erat Malaysia-Bahrain. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan gantian GP Bahrain di Sepang bukan sekadar acara sukan permotoran, sebaliknya mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan serta kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

"Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Yang Mulia Putera Mahkota, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.

"Kami berbesar hati untuk menyokong Bahrain, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, kerjasama itu turut mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang memiliki keupayaan, infrastruktur bertaraf dunia serta pengalaman luas dalam mengendalikan acara antarabangsa berprofil tinggi.

"Malaysia bersedia menyambut kedatangan F1, FIA, pasukan dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

"Kami berharap dapat menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta hospitaliti mesra Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini," katanya.

Terdahulu, F1 mengesahkan SIC akan menjadi lokasi perlumbaan gantian GP Bahrain pada 4 Oktober depan selepas pusingan Bahrain yang dijadualkan April lalu dibatalkan berikutan situasi keselamatan di rantau Asia Barat.

Perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai 'Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia', sekali gus menandakan kembalinya F1 ke Sepang selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2017.

Video Terkini

Berita Berkaitan