BH Online
Ringkasan Berita

F1 sah kembali gegar Sepang

BUDAPEST: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi lokasi perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain yang dijadualkan semula pada Oktober depan, umum Formula Satu (F1) hari ini.
F1 sah kembali gegar Sepang

Litar Antarabangsa Sepang bakal menjadi tuan rumah perlumbaan gantian F1 GP Bahrain pada 4 Oktober depan. Foto AFP

BUDAPEST: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi lokasi perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain yang dijadualkan semula pada Oktober depan, umum Formula Satu (F1) hari ini.

F1 yang dimiliki Liberty Media dalam satu kenyataan ketika berlangsungnya GP Hungary mengesahkan perlumbaan pada 4 Oktober di litar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan dikenali secara rasmi sebagai 'Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia'.

Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali menyifatkan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Bahrain bersama badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta F1 itu sebagai perkembangan positif buat peminat.

"Ini berita hebat buat peminat kami. Mereka akan terus menikmati kalendar Formula 1 yang penuh dan menarik, selain menyaksikan sukan ini kembali ke venue yang hebat.

"Sepang mempunyai tempat istimewa dalam sejarah Formula 1. Ia akan menyediakan pentas perlumbaan yang menakjubkan serta pengalaman tidak dapat dilupakan buat peminat di litar dan mereka yang menonton di seluruh dunia," katanya.

Perlumbaan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung di Sakhir pada April lalu, selain GP Arab Saudi di Jeddah, dibatalkan berikutan konflik Iran serta situasi tidak menentu di rantau Asia Barat.

Kemasukan Sepang dalam kalendar F1 menjadikan jumlah perlumbaan musim ini kembali kepada 23 pusingan, walaupun masih terdapat spekulasi mengenai dua perlumbaan terakhir musim ini di Qatar dan Abu Dhabi.

Menurut sumber, Imola di Itali yang juga litar keramat pasukan Ferrari sedang dipertimbangkan sebagai lokasi perlumbaan penutup musim sekiranya kedua-dua perlumbaan di Asia Barat itu turut dibatalkan.

GP Bahrain yang dijadual semula itu akan berlangsung di antara GP Azerbaijan pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.

Sepang kali terakhir menjadi tuan rumah F1 pada 2017, namun masih menjadi lokasi penting dalam kalendar MotoGP.

Dalam sejarah F1, terdapat beberapa kejadian sebuah negara menganjurkan perlumbaan menggunakan nama negara lain, termasuk Nuerburgring di Jerman yang pernah menjadi lokasi GP Luxembourg, manakala GP San Marino selama bertahun-tahun berlangsung di Imola dan GP Switzerland pernah dianjurkan di Perancis.

Dana kekayaan negara Bahrain, Mumtalakat, merupakan pemilik pasukan juara dunia F1, McLaren, manakala GP Bahrain menjadi acara sukan tahunan terbesar negara itu bagi mempromosikan Bahrain di peringkat antarabangsa.

Bahrain yang menjadi pangkalan Armada Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat sebelum ini berdepan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran.

Negara itu lazimnya membayar puluhan juta dolar sebagai yuran penganjuran kepada F1, dengan sumber memaklumkan Bahrain akan menanggung sebahagian besar kos berkaitan penjadualan semula perlumbaan berkenaan.

Bagaimanapun, penganjuran GP Bahrain di Sepang masih tertakluk kepada persetujuan akhir serta kelulusan Majlis Sukan Motor Dunia FIA.

Video Terkini

Berita Berkaitan