KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) bagi pihak Grand Prix Bahrain pada Oktober ini, menurut sumber kepada ESPN.
Grand Prix Bahrain sepatutnya berlangsung pada April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi susulan perang di Iran.
Bahrain berharap dapat menjadualkan semula perlumbaan itu pada 4 Oktober, iaitu hujung minggu di antara perlumbaan di Azerbaijan dan Singapura, namun peningkatan konflik bulan ini menyebabkan rancangan itu tidak dapat diteruskan.
Litar Antarabangsa Sepang, yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017, tampil untuk menjadi hos perlumbaan pada hujung minggu berkenaan.
Menariknya, memandangkan Bahrain masih bersedia menanggung kos penganjuran, perlumbaan itu akan dipersembahkan sebagai Grand Prix Bahrain yang dianjurkan di Malaysia, namun nama rasmi perlumbaan itu masih belum diputuskan.
Sepang pernah menjadi antara venue perlumbaan yang popular sebelum digugurkan daripada kalendar F1 selepas edisi 2017.
Sumber memberitahu ESPN beberapa perbincangan sudah berlangsung sejak beberapa hari lalu mengenai aspek kewangan perlumbaan, termasuk pihak yang akan menanggung kos serta nama rasmi acara itu.
Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibuat hari ini.
Perang di Iran turut memaksa F1 menilai semula baki jadual musim ini kerana kalendar 2026 pada asalnya mengandungi 24 perlumbaan, dengan empat daripadanya berlangsung di Asia Barat.
Situasi itu turut memberi kesan kepada penghujung musim.
Selain perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi, musim F1 dijadual berakhir dengan perlumbaan berganda di Qatar dan Abu Dhabi.
Perjanjian komersial Formula Satu dengan 11 pasukan bertanding serta penyiar televisyen di seluruh dunia menetapkan kalendar musim tidak boleh mempunyai kurang daripada 22 perlumbaan, bermakna dua daripada empat perlumbaan di Asia Barat perlu digantikan sekiranya semuanya dibatalkan akibat perang.
Sumber turut memberitahu ESPN litar Imola di Itali dan Portimao di Portugal sedang dipertimbangkan sebagai lokasi penutup musim sekiranya F1 terpaksa membatalkan dua perlumbaan berkenaan.
Dalam situasi itu, hanya satu daripada dua litar terbabit diperlukan kerana Malaysia dijangka menggantikan perlumbaan di Bahrain.
Sumber ESPN berkata Imola kini dilihat sebagai pilihan paling berkemungkinan untuk menjadi venue penutup musim. – AGENSI
























