KUALA LUMPUR: Malaysia tidak seharusnya terburu-buru menerima tawaran menjadi penganjur gantian perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Bahrain hanya kerana peluang itu hadir pada saat akhir.
Sebaliknya, kerajaan perlu menilai secara menyeluruh sama ada penganjurannya benar-benar mampu memberi pulangan setimpal selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada 2017.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sebarang keputusan perlu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh.
"Dulu kita menarik diri pada 2017 kerana kos penganjuran yang terlalu membebankan berbanding pulangan yang diterima. Jadi kali ini kita perlu fikir semula, jangan terima sebulat-bulat," katanya kepada BH Sukan.
Menurutnya, walaupun penganjuran F1 mampu meningkatkan imej negara dan menarik kehadiran peminat sukan permotoran dari seluruh dunia, manfaat itu perlu ditimbang dengan kos penganjuran yang sangat tinggi.
"Memang ada impak positif kepada sektor pelancongan, hotel dan pengangkutan, tetapi pulangan F1 tidak sama seperti MotoGP. Kita perlu melihat sama ada manfaat ekonomi itu benar-benar mampu menampung kos yang perlu ditanggung.
"Tambahan pula jika kita diberi tanggungjawab ini dalam tempoh yang sangat singkat, banyak perkara perlu diselesaikan termasuk penjualan tiket, penajaan, promosi dan persiapan infrastruktur.
"Bagi saya, kalau tiada F1 sekali pun rakyat Malaysia tidaklah terlalu terkilan. Tetapi jika tiada MotoGP, mungkin kesannya lebih dirasai kerana sambutan peminatnya di negara ini memang sangat besar," katanya.
Semalam, kerajaan mengesahkan sedang berunding menganjurkan perlumbaan itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata pengumuman mengenainya akan dibuat esok.
























