BH Online
Ringkasan Berita

Ferrari bermula garang di Hungary

BUDAPEST: Charles Leclerc memberi isyarat awal kemampuan Ferrari apabila muncul pemandu terpantas pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix (GP) Hungary, hari ini.
Ferrari bermula garang di Hungary

Charles Leclerc memacu jentera Ferrari ketika sesi latihan bebas pertama Grand Prix (GP) Hungary di Litar Hungaroring, Mogyorod, dekat Budapest, hari ini. Foto: AFP

BUDAPEST: Charles Leclerc memberi isyarat awal kemampuan Ferrari apabila muncul pemandu terpantas pada sesi latihan bebas pertama Grand Prix (GP) Hungary, hari ini.

Pemandu dari Monaco itu mencatat masa terpantas satu minit 19.075 saat (s) di Litar Hungaroring, meninggalkan pencabar terdekat, Max Verstappen dari Red Bull, dengan kelebihan 0.484s.

Bagaimanapun, sesi Leclerc berakhir lebih awal selepas memaklumkan kepada pasukannya bahawa terdapat komponen pada jentera yang mengalami kerosakan.

Rakan sepasukan Leclerc, Lewis Hamilton, mencatat masa ketiga terpantas, 0.543s di belakangnya, namun mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi jentera Ferrari.

"Keadaannya agak teruk. Pemanduannya tidak begitu baik dan suspensi terlalu keras," kata juara dunia tujuh kali itu menerusi radio pasukan.

George Russell dari Mercedes mencatat masa kelima terpantas, manakala pendahulu kejuaraan dunia, Kimi Antonelli, tidak mengambil bahagian dalam sesi itu apabila tempatnya digantikan pemandu simpanan, Frederik Vesti, yang menamatkan latihan di kedudukan ketujuh.

Antonelli dijadual kembali memandu pada sesi latihan bebas kedua dan kini mendahului Hamilton dengan kelebihan 45 mata dalam kedudukan kejuaraan selepas 10 pusingan.

Juara dunia, Lando Norris dari McLaren, sekadar mencatat masa ke-11, manakala juara Formula Dua musim lalu, Leonardo Fornaroli, yang menggantikan Oscar Piastri, menamatkan sesi di tempat ke-16.

Walaupun Ferrari memulakan hujung minggu di Hungary dengan positif selepas memenangi dua daripada empat perlumbaan terakhir, Leclerc tetap menganggap Mercedes sebagai pencabar utama.

"Saya masih menjangkakan Mercedes menjadi penanda aras dan mereka akan menjadi pasukan yang amat sukar ditewaskan ketika sesi kelayakan," kata Leclerc.

Video Terkini

Berita Berkaitan