KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sedang menjalankan penelitian dan perbincangan berhubung kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini bagi menggantikan Grand Prix (GP) Bahrain.
Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya sudah menerima makluman awal mengenai cadangan berkenaan, namun sebarang keputusan hanya diumumkan selepas semua aspek berkaitan dimuktamadkan.
"Perdana Menteri dan KBS telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan F1 Bahrain.
"Sehubungan itu, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan.
"KBS kekal komited dengan misinya untuk terus menyokong pembangunan sukan negara, termasuklah sukan permotoran.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah ia dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Malaysia muncul antara pilihan untuk menggantikan GP Bahrain akibat ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Sepang dilaporkan berada dalam senarai lokasi yang dipertimbangkan dengan perlumbaan berpotensi diadakan di antara GP Azerbaijan di Baku pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.
GP Bahrain dan GP Arab Saudi di Jeddah yang pada asalnya dijadual berlangsung pada April lalu terpaksa ditangguhkan susulan konflik di rantau berkenaan, sebelum usaha menjadualkan semula perlumbaan di Sakhir kembali berdepan kesukaran apabila situasi keselamatan terus meruncing.
Sekiranya menjadi kenyataan, ia akan menyaksikan F1 kembali ke Sepang selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017.
























