BUDAPEST: Pemandu Mercedes, George Russell percaya pasukannya sudah mengenal pasti dan menyelesaikan masalah teknikal yang menjejaskan prestasi jenteranya, sekali gus meningkatkan keyakinannya menjelang Grand Prix (GP) Hungary hujung minggu ini.
Pemandu Britain itu mengalami detik mengecewakan pada GP Belgium minggu lalu apabila kehilangan kelajuan di laluan lurus seawal pusingan pembukaan sebelum terbabas ke kawasan batu kerikil susulan insiden dengan pelumba Ferrari, Lewis Hamilton.
Russell yang sebelum musim bermula dianggap antara pencabar kejuaraan kini menghuni tangga ketiga keseluruhan, 50 mata di belakang rakan sepasukan, Kimi Antonelli yang cemerlang dengan enam kemenangan daripada 10 perlumbaan.
"Tiga hari kemudian saya berasa jauh lebih baik dan gembira kerana kami akhirnya memperoleh jawapan positif daripada pasukan di kilang. Kini tumpuan saya hanya ke hadapan," katanya.
Russell menjelaskan masalah itu berpunca daripada isu yang sukar dikesan dalam sistem penentukuran perisian unit kuasa baharu F1.
"Ada sesuatu yang tersembunyi jauh dalam penentukuran kod perisian. Hampir mustahil untuk mengesannya melainkan anda benar-benar tahu apa yang perlu dicari. Saya lega kami akhirnya berjaya menemuinya," katanya.
Russell bagaimanapun mengakui sukar untuk memberikan jaminan masalah itu tidak akan berulang memandangkan teknologi unit kuasa baharu jauh lebih kompleks, selain perubahan peraturan teknikal yang turut mengehadkan penggunaan beberapa sensor.
Walaupun gagal mengutip mata di Belgium, Russell menegaskan kedudukannya kini sebenarnya lebih hampir dengan Antonelli berbanding selepas GP Monaco pada Jun lalu, ketika jurang mata antara mereka mencecah 68 mata.
Dengan baki lebih separuh musim masih berbaki, Russell percaya peluangnya untuk kembali mencabar kejuaraan masih terbuka.
Pemandu berusia 28 tahun itu turut mengakui masalah teknikal berkenaan sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya kerana terpaksa mengubah gaya pemanduan berbanding memberi fokus sepenuhnya kepada kelajuan.
























