BH Online
Ringkasan Berita

Hakim Danish kutip empat mata di Jerman

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengutip empat mata berharga apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di kedudukan ke-12 di Litar Sachsenring, hari ini.
Hakim Danish kutip empat mata di Jerman

Hakim Danish Ramli mengutip empat mata berharga apabila menamatkan perlumbaan GP Jerman di kedudukan ke-12. Foto: FB ZK Racing

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengutip empat mata berharga apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di kedudukan ke-12 di Litar Sachsenring, hari ini.

Hakim Danish yang memulakan perlumbaan 23 pusingan itu dari petak ketiga, dilihat bergelut untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan, terutama pada 10 pusingan awal perlumbaan.

Bagaimanapun, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan tunggangan konsisten untuk kekal dalam kelompok 15 terbaik sebelum melintasi garisan penamat di tempat ke-12 dengan catatan masa 33 minit 19.287 saat (s).

Gelaran juara menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte yang mencatat masa 33'02.690s, manakala Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team berada di tempat kedua, hanya 0.063s di belakang pemenang.

Matteo Bertelle daripada pasukan Level Up-MTA melengkapkan kedudukan podium selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 33'07.747s.

Semalam, Hakim Danish mencuri tumpuan apabila mencatat masa terbaik 1'24.909s pada sesi Kelayakan 2 (Q2) untuk melayakkan diri memulakan perlumbaan dari petak ketiga.

Keputusan di Sachsenring menyaksikan Hakim Danish berada di tangga ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 86 mata selepas 11 pusingan.

Saingan Moto3 musim 2026 kini akan beralih ke GP Great Britain di Litar Silverstone yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan