BH Online
Ringkasan Berita

Hakim Danish tempah petak ketiga di Sachsenring

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli meneruskan momentum positif apabila berjaya menyambar petak ketiga untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, esok.
Hakim Danish tempah petak ketiga di Sachsenring

Hakim Danish Ramli meneruskan momentum positif apabila berjaya menyambar petak ketiga untuk perlumbaan GP Jerman di Litar Sachsenring, esok. Foto: FB ZK Racing

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli meneruskan momentum positif apabila berjaya menyambar petak ketiga untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, esok.

Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), hari ini, Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mencatat masa terbaiknya 1 minit 24.909 saat (s) untuk memastikan tempat di barisan pertama itu.

Petak utama menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte selepas mencatat masa terpantas 1:24.88s, manakala Marco Morelli daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team mengisi kedudukan kedua dengan catatan 0.024s lebih perlahan.

Pendahulu keseluruhan Moto3, Maximo Quiles, yang juga rakan sepasukan Morelli, akan memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas merekodkan masa terbaik 1:25.10s.

Hakim Danish sebelum ini mengesahkan tempat automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi latihan di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan catatan 1:25.975s, hanya 0.127s di belakang pelumba terpantas, Veda Pratama dari Indonesia.

Prestasi pelumba berusia 18 tahun itu semakin konsisten selepas turut mencatat keputusan positif pada GP Belanda bulan lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh sekali gus mengutip sembilan mata.

Selepas 10 pusingan musim ini, Hakim Danish kini mengumpul 82 mata untuk menghuni tangga keenam keseluruhan kejuaraan Moto3.

Video Terkini

Berita Berkaitan