BH Online
Ringkasan Berita

Hakim Danish pertaruh nyawa demi Malaysia

Di litar perlumbaan, segala-galanya berlaku dalam ruang masa yang terlalu singkat untuk memberi peluang kepada kesilapan.
Hakim Danish pertaruh nyawa demi Malaysia

Penunggang Team MT Helmets - MSi, Hakim Danish meraikan kedudukan tempat ketiga Moto3 di Grand Prix Mugello, dekat Florence, Itali bulan lalu. AFP

Di litar perlumbaan, segala-galanya berlaku dalam ruang masa yang terlalu singkat untuk memberi peluang kepada kesilapan.

Satu brek yang terlewat, satu garisan selekoh yang tersasar atau satu sentuhan kecil sudah cukup untuk membezakan antara kegemilangan dan tragedi.

Dalam dunia sukan permotoran, satu hakikat tidak pernah berubah - setiap pelumba yang berada di grid permulaan sedang mempertaruhkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kemenangan.

Di tengah dunia yang tidak mengenal belas kasihan itu, muncul seorang anak muda Malaysia, Hakim Danish Ramli.

Pada usia 18 tahun, dia memilih jalan yang tidak ramai sanggup tempuhi. Bukan sekadar mengejar kelajuan, tetapi memburu impian mengangkat Jalur Gemilang ke pentas tertinggi sukan permotoran dunia.

Hakim Danish bukan lahir daripada keluarga berada. Sejak usia 14 tahun, dia meninggalkan keselesaan rumah dan hidup berjauhan daripada keluarga demi mengejar cita-cita yang dianggap terlalu besar oleh sesetengah pihak.

bhmotor071
Pada usia 18 tahun, dia memilih jalan yang tidak ramai sanggup tempuhi. Bukan sekadar mengejar kelajuan, tetapi memburu impian mengangkat Jalur Gemilang ke pentas tertinggi sukan permotoran dunia.

Perjalanannya bermula pada 2019 apabila menyertai sesi pemilihan Kejuaraan SIC MiniGP sebelum beraksi dalam kejuaraan itu setahun kemudian menerusi program pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dikendalikan ZK Racing milik bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Di bawah bimbingan Zulfahmi, dia dibentuk bukan sahaja sebagai pelumba, tetapi juga atlet yang memahami kepentingan disiplin, fokus dan ketahanan mental.

Hasilnya, Hakim Danish muncul juara sulung kategori 160cc SIC MiniGP pada 2020, sekali gus memberikan petunjuk awal mengenai potensi besar yang dimilikinya.

Bakat itu kemudian membuka laluan ke Asia Talent Cup (ATC) pada 2021. Dalam musim pertamanya, dia menamatkan kempen di tangga kelima keseluruhan sebelum melakar sejarah setahun kemudian apabila muncul juara keseluruhan.

Kejayaan itu menjadikan Hakim Danish pelumba Malaysia pertama menjuarai ATC sejak kejuaraan berkenaan diperkenalkan pada 2014.

Namun, menakluk Asia hanyalah permulaan.

Cabaran sebenar menantinya di Eropah menerusi saingan European Talent Cup (ETC), Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP, platform yang menjadi medan pembuktian buat pelumba muda terbaik dunia sebelum melangkah ke Kejuaraan Motosikal Dunia.

Perpindahan ke Eropah bukan sekadar perubahan lokasi perlumbaan. Ia membawa cabaran baharu dari segi tahap persaingan, budaya kerja dan tekanan untuk membuktikan kemampuan dalam kalangan pelumba yang datang dari negara-negara kuasa besar sukan permotoran.

Di situlah Hakim Danish belajar bahawa bakat semata-mata tidak mencukupi.

Namun cabaran itu sama sekali tidak pernah mematahkan semangatnya.

Sebaliknya, dia terus mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama menaiki podium Red Bull Rookies Cup pada 2023, selain muncul pelumba negara pertama menamatkan perlumbaan di podium ETC di Portugal pada tahun yang sama.

Kejayaan itu menjadi bukti bahawa anak muda dari Kuala Terengganu itu mampu berdiri sama tinggi dengan bakat-bakat terbaik dunia.

Tahun 2025 pula menjadi satu lagi detik penting dalam kariernya apabila muncul pelumba Malaysia pertama menamatkan kempen Red Bull Rookies Cup dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Pencapaian itu membuka laluan ke pentas yang menjadi impian setiap pelumba muda dunia - Kejuaraan Motosikal Dunia.

Hakim Danish diberi peluang membuat penampilan dalam kelas Moto3 menerusi tiket wildcard pada Grand Prix (GP) Malaysia sebelum dipanggil pasukan MT Helmets-MSI untuk menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan di GP Portugal dan Valencia.

Peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 di Litar Algarve dan ke-14 di Valencia.

Prestasi memberangsangkan itu akhirnya menghadiahkan kontrak perlumbaan sepenuh masa bersama MT Helmets-MSI musim ini.

Kontrak berkenaan meletakkan Hakim Danish dalam kelompok kecil pelumba Malaysia yang berjaya menembusi Kejuaraan Motosikal Dunia secara sepenuh masa.

Namun berada di pentas tertinggi sukan permotoran dunia bukan sekadar tentang kelajuan dan kejayaan.

Ia juga bermakna berdepan risiko yang sentiasa hadir setiap kali lampu perlumbaan dipadamkan.

Sejarah sukan permotoran dipenuhi kisah keberanian dan pengorbanan. Wayne Rainey terpaksa menamatkan karier selepas kemalangan serius di Misano pada 1993, manakala Marco Simoncelli kehilangan nyawa dalam kemalangan tragis di Sepang pada 2011.

Dua peristiwa itu menjadi peringatan bahawa risiko sentiasa wujud walaupun teknologi dan aspek keselamatan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Namun di sebalik risiko itulah lahirnya pelumba-pelumba yang sanggup mengorbankan segalanya demi mengejar kejayaan di pentas dunia.

Malaysia juga tidak pernah ketandusan pelumba yang berani memikul cabaran itu.

Mentornya, Zulfahmi Khairuddin pernah menghadiahkan dua podium Moto3 buat negara pada musim 2012 menerusi Grand Prix Malaysia dan Grand Prix Valencia.

Hafizh Syahrin Abdullah pula mencipta sejarah tersendiri dengan meraih tiga podium dalam saingan Moto2, termasuk penamat kedua di Grand Prix San Marino 2017.

Khairul Idham Pawi pula mengukir detik paling ikonik apabila muncul juara Grand Prix Argentina dan Grand Prix Jerman 2016 dalam kelas Moto3.

bhmotor072
Pada usia 18 tahun, dia memilih jalan yang tidak ramai sanggup tempuhi. Bukan sekadar mengejar kelajuan, tetapi memburu impian mengangkat Jalur Gemilang ke pentas tertinggi sukan permotoran dunia.

Kesemua pencapaian itu menjadi penanda aras buat generasi baharu pelumba negara.

Kini, Hakim Danish pula sedang membina legasinya sendiri dalam landskap perlumbaan yang semakin kompetitif.

Moto3 hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu. Jurang antara pelumba semakin kecil, teknologi semakin seimbang dan setiap kedudukan perlu diperjuangkan hingga ke garisan penamat.

Di Grand Prix Itali minggu lalu, Hakim Danish membuktikan dia mampu bersaing dengan kelompok terbaik apabila menghadiahkan podium tempat ketiga buat Malaysia dalam keadaan litar kering.

Ia bukan sekadar penamat biasa kerana pencapaiannya itu berbeza dengan podium dilakar Zulfahmi, Hafizh Syahrin dan Khairul Idham berlangsung dalam keadaan litar basah.

Dalam keadaan litar kering, perlumbaan lebih banyak ditentukan oleh kelajuan sebenar, ketepatan jentera, strategi pasukan dan kemampuan pelumba mengawal tekanan sepanjang perlumbaan.

Bagi seorang pelumba yang baru memulakan musim penuh pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia, pencapaian itu memberikan gambaran bahawa masa depan yang lebih besar mungkin sedang menantinya.

Namun di sebalik sorakan penyokong, perhatian media dan pencapaian di litar, Hakim Danish tetap seorang anak muda yang meninggalkan keluarga sejak usia remaja demi mengejar impian yang belum selesai.

Perjalanan itu menuntut harga yang tinggi.

Berjauhan daripada keluarga, menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar negara dan berdepan tekanan perlumbaan pada usia muda adalah cabaran yang tidak semua orang sanggup hadapi.

Tetapi itulah realiti yang diterimanya sejak memilih dunia perlumbaan sebagai jalan hidup.

Perjalanannya juga masih panjang.

Masih banyak perlumbaan yang perlu ditempuhi, masih banyak cabaran yang perlu diatasi dan masih banyak impian yang mahu direalisasikan.

Namun satu perkara sudah pasti.

Setiap kali visor diturunkan dan enjin mula mengaum di grid permulaan, seorang anak muda dari Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu akan terus membawa harapan Malaysia bersamanya.

Dan selagi peluang itu ada, Hakim Danish akan terus memburu impian yang sama - mengibarkan Jalur Gemilang di pentas tertinggi dunia.

Video Terkini

Berita Berkaitan