KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih podium pertama dalam Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 di Grand Prix (GP) Itali semalam diharap menjadi titik perubahan buat Hakim Danish Ramli untuk terus menyerlah dan merealisasikan potensi sebenar dimilikinya.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui sebak serta menitiskan air mata kegembiraan apabila menyaksikan pelumba muda negara itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Litar Mugello sekali gus menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali menaiki podium Moto3.
Bekas pelumba Moto3 negara itu berkata, dia tidak pernah meragui kemampuan Hakim Danish untuk bersaing dalam kelompok hadapan walaupun pelumba berusia 18 tahun itu mengharungi keputusan yang tidak menentu dalam enam pusingan awal musim ini.
"Saya sentiasa percaya Danish mempunyai kemampuan untuk bersaing merebut podium. Selepas kemalangan yang dialaminya ketika sesi latihan, ramai yang meragui sama ada dia mampu bangkit dan kembali bersaing pada tahap tertinggi dalam tempoh yang singkat.
"Namun Danish membuktikan mentaliti serta karakter sebenar seorang pelumba. Dia bangkit dengan penuh keyakinan, mengatasi setiap cabaran sepanjang hujung minggu perlumbaan dan akhirnya menghadiahkan podium sulung dalam musim pertamanya di Moto3.
"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kerja keras yang dilakukannya selama ini, malah membuktikan dia mempunyai potensi untuk bersaing secara konsisten dalam kelompok hadapan," kata Zulfahmi.
Zulfahmi yang kini berada di China atas urusan kerja tidak dapat berada di Mugello untuk memberikan sokongan secara langsung kepada anak didiknya itu.
Menurutnya, kejayaan berkenaan cukup bermakna memandangkan sentiasa mengikuti perkembangan Hakim Danish sejak awal karier pelumba muda itu dan memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan kariernya.
"Podium ini amat istimewa buat kami semua. Perjalanan yang dilalui bersama Hakim Danish sejak permulaan kariernya bukan sesuatu yang mudah.
"Saya mengikuti perkembangannya sejak usia muda dan membimbingnya hingga ke tahap ini. Sebab itu pencapaian ini sangat menyentuh emosi dan cukup bermakna buat saya.
"Selepas dia meraih kedudukan barisan hadapan dalam sesi kelayakan, saya sentiasa mengingatkannya bahawa podium adalah sasaran yang realistik.
"Saya menggalakkannya supaya berani mencabar diri dan meletakkan sasaran yang tinggi. Dia membuktikannya dengan aksi yang cukup cemerlang," katanya.
Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir selepas Danish berdepan detik sukar apabila terjatuh dua kali dalam sesi latihan pada Jumaat sehingga gagal melayakkan diri secara automatik ke Kelayakan 2 (Q2).
Bagaimanapun, pelumba Aeon Credit-MT Helmets-MSI itu bangkit apabila menamatkan Q1 di tempat kedua untuk mara ke Q2 sebelum sekali lagi mencatat keputusan kedua terbaik bagi memastikan kedudukan barisan hadapan buat kali kedua musim ini.
Setakat ini, Danish sudah mengumpul empat penamat dalam kelompok 10 terbaik musim ini dan menghuni tangga ke-11 keseluruhan Moto3 dengan 43 mata.
Cabaran seterusnya buat pelumba muda negara itu adalah di GP Hungary di Litar Balaton Park minggu ini, dengan keyakinan tinggi untuk meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkan di Mugello.
























