KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menzahirkan rasa syukur apabila sasaran tiga pingat emas berjaya dicapai pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun pada masa sama meluahkan rasa terkilan terhadap beberapa tindakan Institut Sukan Negara (ISN) menjelang temasya itu.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, kejayaan itu membuktikan atlet angkat berat negara memiliki kemampuan untuk bersaing dan muncul juara di pentas antarabangsa apabila diberikan peluang, persediaan serta sokongan sewajarnya.
Tiga atlet negara yang menyumbang emas adalah Mohamad Aniq Kasdan yang mempertahankan gelaran kategori 60 kilogram, Muhamad Aznil Bidin yang menjuarai kategori 65kg buat kali ketiga berturut-turut dan Muhammad Erry Hidayat yang muncul juara kategori 79kg, awal pagi tadi.
"Alhamdulillah, sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula berjaya dicapai.
"Tahniah kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai yang berkorban masa, tenaga serta menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Komanwel," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ayub, pencapaian itu membuktikan angkat berat mempunyai potensi besar untuk menjadi antara penyumbang utama pingat negara bukan sahaja di Sukan Komanwel, malah di Sukan SEA, Sukan Asia dan Olimpik.
Pada masa sama, beliau melahirkan rasa terkilan terhadap beberapa tindakan yang diambil ISN pada saat-saat akhir menjelang temasya yang didakwa memberi tekanan kepada atlet serta sedikit sebanyak menjejaskan fokus dan semangat mereka ketika berada pada fasa paling kritikal menjelang pertandingan.
Katanya, setiap keputusan yang membabitkan kebajikan atlet, khususnya berkaitan makanan tambahan, prestasi dan sokongan sains sukan perlu dibuat secara lebih terancang, teliti serta berasaskan bukti saintifik melalui perbincangan bersama persatuan sukan kebangsaan dan pasukan kejurulatihan.
"Sebarang tindakan yang dibuat pada saat akhir berpotensi mengganggu persediaan atlet yang sudah menjalani latihan intensif selama bertahun-tahun demi membawa cabaran negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap ISN mengkaji semula dan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan makanan tambahan, prestasi, pemulihan atlet serta sokongan sains sukan.

"Sokongan ini amat penting khususnya kepada atlet angkat berat yang memerlukan pemantauan rapi dari segi pemakanan, suplemen, pemulihan dan prestasi bagi memastikan mereka mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.
"PABM percaya atlet bertaraf dunia tidak hanya dibentuk melalui latihan semata-mata, tetapi juga menerusi sistem sokongan sains sukan yang menyeluruh dan konsisten.
"Atlet berkualiti memerlukan kecukupan makanan tambahan yang selamat, sokongan sains sukan yang komprehensif serta keyakinan setiap keputusan yang dibuat adalah demi meningkatkan prestasi mereka. Pelaburan dalam aspek ini bukan satu pilihan, sebaliknya satu keperluan sekiranya Malaysia mahu terus melahirkan juara di pentas antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Ayub berkata perjuangan kontinjen negara di Glasgow masih belum selesai apabila lima lagi atlet angkat berat Malaysia akan turun beraksi dalam baki acara.
Beliau yakin semua atlet itu mampu meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkan rakan sepasukan, sekali gus menambah kutipan pingat negara pada temasya berkenaan.
























