GLASGOW: Juara Olimpik, Rhys McClenaghan menyifatkan penyertaannya pada temasya Sukan Komanwel 2026 sekadar "hari latihan" selepas gagal meraih sebarang pingat pada final acara kuda berpelana lelaki, awal pagi tadi.
Atlet Ireland Utara itu mencipta sensasi apabila memenangi emas Olimpik Paris 2024, namun sekadar menamatkan saingan di tempat keenam di Glasgow selepas percubaan teknik baharu pada permulaan rutinnya tidak menjadi.
McClenaghan, 27, gagal menaiki podium Sukan Komanwel buat kali pertama selepas memenangi emas di Gold Coast pada 2018 dan perak di Birmingham empat tahun kemudian.
Bagaimanapun, dia tidak terlalu kecewa kerana kini mengalihkan tumpuan kepada Kejohanan Eropah dan Kejohanan Dunia tidak lama lagi.
"Bagi saya, ini hanyalah hari latihan. Saya akan kembali ke gimnasium secepat mungkin dan menghadapinya seperti mana-mana sesi latihan lain.
"Walaupun saya memenangi emas di sini, saya tetap menganggapnya sebagai satu langkah persediaan. Kami akan kembali ke gimnasium secepat mungkin dan meneruskan latihan seperti biasa. Fokus kami kini adalah Kejohanan Eropah," kata McClenaghan yang turut muncul juara dunia pada 2022 dan 2023.

Jordan Carroll menghadiahkan emas buat Kanada, manakala tuan rumah Scotland turut bergembira apabila juara all-around individu lelaki, Reuben Ward meraih perak dan rakan sepasukannya, Cameron Lynn membawa pulang gangsa.
"Scotland kini semakin digeruni dalam gimnastik dan kami mula membuktikannya.
"Saya memulakannya beberapa hari lalu dan kini momentum itu semakin berkembang," kata Ward yang menghadiahkan pingat pertama Scotland dalam acara all-around individu kelmarin.
Luke Whitehouse dari England menebus kekecewaan dalam acara all-around individu lelaki apabila memenangi emas final senaman lantai.
Atlet berusia 24 tahun itu mengakui fikirannya terganggu selepas rakan sepasukan, Gabriel Langton terjatuh ketika acara palang tinggi pada final berpasukan, Jumaat lalu sehingga terpaksa bermalam di hospital.
"Banyak perkara berlaku sejak beberapa hari lalu. Anda hanya perlu mengabaikan segala gangguan dan fokus kepada rutin sendiri.

"Gabriel adalah rakan sebilik saya di sini dan mengetahui dia kini berada dalam keadaan baik benar-benar melegakan saya," katanya.
Bintang muda Kanada berusia 16 tahun, Lia-Monica Fontaine memenangi emas acara lompatan untuk menambah koleksi gangsa all-around individu wanita yang dimenanginya sebelum ini.
Abigail Martin dari England meraih perak, manakala Abigail Roper dari Wales membawa pulang gangsa.
Kembar Abigail, Emily Roper turut memenangi gangsa dalam acara palang bertingkat, di belakang Kate McDonald dari Australia dan Ellie Black dari Kanada.
Felix Dolci menghadiahkan pingat ketiga serta emas kedua buat Kanada pada temasya kali ini selepas muncul juara acara gelang, mengatasi rakan senegaranya William Emard dan James Hardy dari Australia. – AFP
























