GLASGOW: Malaysia mengintai dua lagi pingat emas menerusi acara boling padang selepas Izzat Shameer Dzulkeple dan pairs wanita negara melangkah ke perlawanan akhir Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Pada aksi di Scottish Event Campus, Izzat Shameer mengesahkan tempat ke final acara perseorangan lelaki selepas menewaskan Aaron Wilson dari Australia 1-0 menerusi penentuan tie-break, selepas kedua-dua pemain terikat 1-1.
Momentum cemerlang kem boling padang negara diteruskan apabila gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut menempah slot final dalam acara pairs wanita.
Pasangan negara mengetepikan Chloe Wilson-Shauna O'Neill dari Ireland Utara selepas memenangi penentuan tie-break 1-0, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sebaik tamat perlawanan.
Izzat Shameer akan berdepan peserta England, Sam Tolchard pada final hari ini, manakala Aleena-Syafiqa akan mencabar Amy Pharaoh-Sian Honnor juga dari England.
Kejayaan menempah dua slot final menyaksikan Malaysia meneruskan usaha memburu pingat emas sekali gus berpeluang menambah koleksi pingat kontinjen negara di Glasgow. – BERNAMA
























