GLASGOW: Jaguh angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menambah koleksi pingat emas kontinjen negara selepas mengungguli kategori 79 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, awal pagi tadi.
Kejayaan itu menyaksikan Erry meraih pingat emas pertamanya di temasya Sukan Komanwel, sekali gus memperbaiki pencapaian pingat perak yang dimenanginya dalam kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.
Atlet berusia 26 tahun itu melakukan jumlah angkatan keseluruhan 331kg menerusi 147kg dalam snatch dan 184kg bagi clean and jerk, sekali gus memecahkan rekod Sukan Komanwel.
Pingat perak dimenangi Valluri Ajaya Babu dari India yang mencatat jumlah angkatan 330kg menerusi 149kg dalam snatch dan 181kg dalam clean and jerk.
Chris Murray dari England membawa pulang pingat gangsa selepas melakukan jumlah angkatan 325kg menerusi 148kg dalam snatch dan 177kg dalam clean and jerk.
Kejayaan Erry itu lebih bermakna apabila dia mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Pingat emas diraih Erry adalah yang ketiga buat kontinjen negara selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing muncul juara dalam kategori 60kg dan 65kg kelmarin. – BERNAMA
























