BH Online
Ringkasan Berita

Atlet Kyrgyzstan kuasai IRONMAN 70.3 Desaru Coast

KUALA LUMPUR: Kyrgyzstan mencipta detik istimewa pada IRONMAN 70.3 Desaru Coast apabila Evgeny Tikhonin dan Mariia Kurchenko muncul juara kategori lelaki serta wanita, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda negara berkenaan, semalam.
Atlet Kyrgyzstan kuasai IRONMAN 70.3 Desaru Coast

Tikhonin menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 49 minit 35 saat. Foto Ihsan Penganjur

KUALA LUMPUR: Kyrgyzstan mencipta detik istimewa pada IRONMAN 70.3 Desaru Coast apabila Evgeny Tikhonin dan Mariia Kurchenko muncul juara kategori lelaki serta wanita, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda negara berkenaan, semalam.

Lebih 1,000 atlet dari 60 negara menyertai festival yang berlangsung selama tiga hari itu, membabitkan acara utama IRONMAN 70.3 Desaru Coast, 5150 Triathlon, Sprint Triathlon dan IRONKIDS.

Dalam saingan lelaki, Tikhonin mempamerkan aksi mantap apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 jam 49 minit 35 saat untuk mengatasi juara bertahan dari Australia, Jed Radbone (3:57:28), manakala rakan senegara, Ilya Kosov melengkapkan podium di tempat ketiga (4:03:48).

Kejayaan itu menyaksikan Tikhonin meraih kemenangan ketiga dalam saingan IRONMAN 70.3 dan gelaran kedua musim ini selepas turut menjuarai IRONMAN 70.3 Afrika Selatan.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, dia berjaya mengawal rentak perlumbaan selepas memperoleh kelebihan dalam acara renang dan berbasikal, sebelum memastikan tenaga dikekalkan bagi menghadapi cabaran larian yang dianggap sukar.

Dalam kategori wanita pula, Kurchenko melengkapkan kejayaan Kyrgyzstan apabila muncul juara keseluruhan dengan catatan 4:20:26, meninggalkan pencabar terdekat dari Singapura, Ling Er Choo (4:26:36) dan Lisa Cheng dari Hong Kong (5:08:10).

Kemenangan sulungnya di Desaru Coast itu memberi suntikan keyakinan kepada Kurchenko menjelang Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 di Nice, Perancis pada September ini.

"Saya sangat gembira. Ini pertandingan pertama saya di Malaysia dan saya sangat menyukainya. Saya berdepan beberapa cabaran ketika berbasikal, tetapi saya amat gembira dapat menamatkan perlumbaan dan menang," katanya.

Malaysia turut mencuri perhatian menerusi Teh Kuok Yuen yang muncul atlet lelaki negara terbaik selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima keseluruhan dengan catatan 4:17:45, manakala Yen Chia menjadi peserta wanita Malaysia terpantas buat tahun kedua berturut-turut dengan masa 5:09:55.

Video Terkini

Berita Berkaitan