BH Online
Ringkasan Berita

Sharul Aimy alih fokus ke final melombol

GLASGOW: Atlet gimnastik artistik negara, Sharul Aimy Kamaru Hisam kini mengalihkan tumpuan kepada final melombol lelaki selepas kesilapan dalam final senaman lantai menjejaskan peluangnya memburu podium pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 hari ini.
Sharul Aimy alih fokus ke final melombol

Sharul Aimy kini mengalihkan tumpuan kepada final melombol lelaki, esok. Foto: BERNAMA

GLASGOW: Atlet gimnastik artistik negara, Sharul Aimy Kamaru Hisam kini mengalihkan tumpuan kepada final melombol lelaki selepas kesilapan dalam final senaman lantai menjejaskan peluangnya memburu podium pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 hari ini.

Muhammad Sharul yang lebih dikenali sebagai Sharul Aimy berkata, dia tetap berpuas hati dengan sebahagian besar persembahannya pada final senaman lantai di Glasgow International Arena di sini, walaupun kesilapan pada permulaan rutin memberi kesan kepada keseluruhan markah.

"Pada saya, kalau menang hari ini memang dianggap bonus sebab ini bukan acara utama saya. Saya sertai acara ini dan apabila berjaya ke final, sudah tentu sasaran berubah kepada memburu pingat.

"Namun, hari ini ada sedikit kesilapan di awal rutin dan ia sedikit sebanyak menjejaskan mental saya tapi esok masih ada satu lagi final. Saya harap dapat buat yang terbaik untuk bawa balik sesuatu ke Malaysia," katanya ketika ditemui BERNAMA selepas aksi final.

Pada final hari ini, sedikit kesilapan ketika melakukan pendaratan menjejaskan pungutan markah keseluruhan Sharul Aimy, yang menamatkan saingan di kedudukan terakhir dengan 12.566 mata.

Pingat emas dimenangi Luke Whitehouse dari England dengan kutipan 14.566 mata sementara perak menjadi milik Rene Cournoyer dari Kanada (13.966 mata) dan atlet Australia James Hardy membawa pulang gangsa dengan 13.433 mata.

Sharul Aimy berkata, dia mahu segera melupakan keputusan final senaman lantai dan memberi sepenuh fokus kepada final melombol yang dijadualkan berlangsung esok.

Katanya, sasaran untuk menaiki podium pada Sukan Komanwel sudah lama menjadi impiannya.

"Sasaran itu memang sudah lama saya letakkan. Mungkin esok rezeki saya, insya-Allah. Kalau saya dapat melakukan pendaratan dengan baik, itu yang paling penting," katanya.

Ketika ditanya mengenai keadaan fizikalnya selepas sebelum ini dibelenggu kecederaan, Sharul Aimy berkata, dia sudah bersedia memberikan segala-galanya esok.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat gimnastik artistik pada Sukan Komanwel adalah menerusi Ng Shu Wai yang meraih perak acara senaman lantai lelaki pada edisi di Melbourne 2006.

Shu Wai yang kini menjadi jurulatih kebangsaan turut memenangi perak dalam acara sama di Manchester 2002.

Video Terkini

Berita Berkaitan