GLASGOW: Gimnas England, Gabriel Langton mengakui bimbang kariernya dalam sukan itu mungkin berakhir selepas mengalami kemalangan ngeri ketika bertanding pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Atlet berusia 19 tahun itu terjatuh dengan kepala terlebih dahulu dari ketinggian kira-kira tiga meter selepas gagal melakukan tangkapan ketika melakukan aksi di palang mendatar dalam acara berpasukan lelaki.
Langton kemudian dikejarkan ke hospital dan terpaksa bermalam untuk menjalani pemeriksaan lanjut sebelum imbasan mengesahkan dia tidak mengalami kecederaan serius selain kesakitan serta bengkak.
"Saya tahu masih boleh bercakap, saya masih boleh menggerakkan banyak anggota badan, tetapi perkara yang diharapkan ketika itu adalah masih boleh kembali melakukan gimnastik.
"Kecederaan lain seperti patah kaki memang tidak menyenangkan, tetapi kebiasaannya kita tahu ia boleh pulih. Namun kecederaan di bahagian leher perlu diambil serius, jadi saya hanya berharap ia tidak terlalu teruk," katanya.
Langton berkata keputusan pemeriksaan kesihatan itu memberi kelegaan besar kepadanya dan mengubah fikirannya untuk kembali berlatih secepat mungkin.
"Apabila keputusan imbasan keluar, ia satu kelegaan yang besar. Pemikiran saya terus berubah dan saya mula fikir bahawa saya mungkin boleh kembali ke gim dalam masa terdekat," katanya.
Selepas dibenarkan keluar, Langton kembali ke hotel penginapan pasukan England pada Sabtu dan disambut rakan sepasukan sebelum menerima pingat perak yang dimenangi skuad itu.
Langton menegaskan kejadian itu tidak akan menjejaskan keyakinannya untuk meneruskan karier walaupun mengakui ia satu insiden yang menakutkan.
"Saya sudah melakukan kemahiran itu begitu banyak kali, mungkin sekitar 10,000 kali, dan perkara ini hanya berlaku sekali.
"Pada masa sama, saya fikir semua orang boleh lihat ini hanyalah kemalangan luar biasa. Malangnya ia berlaku dalam keadaan seperti ini," katanya.
Langton turut mengesahkan dia tidak mengalami gegaran otak dan tidak pernah hilang kesedaran ketika insiden berlaku.
























