KUALA LUMPUR: Cucu bekas diktator Uganda, Idi Amin, bakal mencuri perhatian pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila peninju kategori heavyweight, Aziz Abdul turun ke gelanggang membawa nama jolokan "Ringo".
Aziz yang membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel akan berdepan peninju England, Damar Thomas, dalam aksi pembukaan, sekali gus meneruskan legasi keluarganya yang bukan sahaja berkait dengan politik tetapi turut mempunyai sejarah dalam sukan tinju.
Datuknya, Idi Amin yang memerintah Uganda dari 1971 hingga 1979, pernah menjadi juara kebangsaan kategori light heavyweight selama hampir sedekad sebelum dikenali sebagai antara diktator paling kontroversi di Afrika.
Pemerintahan Amin dikaitkan dengan kekejaman besar-besaran, dengan anggaran kira-kira 300,000 orang terbunuh sepanjang tempoh pemerintahannya.
Namun, di sebalik sejarah kontroversi itu, Aziz, 25, mengakui datuknya kekal sebagai inspirasi terbesar dalam karier tinjunya.
"Saya sangat gembira untuk berdepan peninju England. Pencapaian datuk saya memberi inspirasi kepada saya.
"Datuk saya juga seorang peninju heavyweight seperti saya dan saya sangat bangga dengannya. Saya seorang pejuang sebenar. Saya adalah anak kepada anaknya," katanya.
Idi Amin sebelum ini terkenal dengan minat mendalam terhadap Scotland, termasuk sering memakai kain tartan dan bermain alat muzik bagpipe.
Beliau turut menggelar dirinya sebagai "Penakluk Empayar British", selain pada 1976 mengisytiharkan dirinya sebagai "Raja Terakhir Scotland", satu gelaran yang mencetuskan perhatian dunia ketika pemerintahannya.
Aziz dilihat mewarisi sedikit keyakinan itu apabila sebelum temasya bermula menyatakan hasrat untuk muncul sebagai "Raja baharu Scotland" dalam usaha memburu kejayaan di Glasgow.
Kenyataan berani peninju Uganda itu menambah warna kepada saingan tinju Komanwel, dengan latar belakang keluarganya serta keyakinan tinggi menjadikan pertarungannya menentang Thomas antara aksi yang dinantikan.
Lebih lima dekad selepas nama Idi Amin mencetuskan kontroversi di Scotland, Aziz kini mahu mencipta legasi sendiri dengan memburu gelaran "lelaki paling digeruni" di gelanggang tinju Sukan Komanwel Glasgow.
























