KUALA LUMPUR: Pemenang gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2026, Irene Jane Henry mengakui dia terpaksa melawan perasaan gementar sebelum berjaya menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam acara angkat berat wanita selepas 16 tahun, semalam.
Atlet kelahiran Sabah itu meraih gangsa dalam kategori bawah 48 kilogram (kg) selepas melakukan angkatan 77kg dalam snatch dan 90kg dalam clean and jerk untuk jumlah keseluruhan 167kg di SEC Armadillo.
Pingat emas menjadi milik bekas juara dunia dari India, Mirabai Chanu yang mencatat rekod baharu temasya dengan angkatan keseluruhan 190kg menerusi 85kg dalam snatch dan 105kg dalam clean and jerk, manakala Ruth Nyong dari Nigeria meraih perak dengan jumlah 168kg.
Kejayaan Irene menamatkan penantian 16 tahun Malaysia untuk menyaksikan wakil wanita memenangi pingat angkat berat di Sukan Komanwel sejak Raihan Yusoff membawa pulang gangsa dalam kategori bawah 53kg di New Delhi pada 2010.
Irene berkata, debaran yang dirasainya sebelum pertandingan hampir mengganggu fokusnya, namun dia tetap bertekad untuk membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat buat negara.
"Saya benar-benar gementar ketika berada di belakang pentas, tetapi saya bertekad untuk berjuang mendapatkan pingat.
"Memang kecewa kerana terlepas pingat perak dengan perbezaan hanya satu kilogram, tetapi sejujur saya sudah memberikan yang terbaik.
"Kami hanya mempunyai tiga percubaan bagi setiap disiplin, jadi saya memberikan segala yang termampu dan berharap memperoleh keputusan terbaik," katanya kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
Kejayaan Irene turut melengkapkan hari cemerlang skuad angkat berat negara selepas Aniq Kasdan muncul juara kategori bawah 60kg lelaki, manakala Aznil Bidin turut menghadiahkan emas dalam kategori bawah 65kg.
Aznil turut melakar sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam tiga edisi berturut-turut Sukan Komanwel.
Cabaran skuad negara diteruskan awal pagi esok menerusi Erry Hidayat yang akan beraksi dalam kategori bawah 79kg lelaki.
























