KUALA LUMPUR: Selepas meraih satu pingat perak dan gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, skuad boling padang negara berada di landasan untuk melakar pencapaian lebih baik pada edisi Glasgow 2026 berdasarkan prestasi memberangsangkan setakat ini.
Selepas saingan hari ini, gandingan beregu wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman mengungguli Kumpulan D selepas merekodkan empat kemenangan daripada empat perlawanan, manakala Izzat Shameer Dzulkeple turut mengekalkan rekod sempurna dalam saingan perseorangan lelaki Kumpulan D.
Dengan pemain nombor satu dunia perseorangan wanita, Emma Firyana Saroji yang juga sandaran utama pingat emas negara, masih belum memulakan kempen minggu ini, skuad negara berada dalam posisi terbaik untuk melepasi sasaran awal dua pingat menerusi acara boling padang dan boling padang para.
"Dalam setiap kejohanan besar, sasaran Malaysia adalah untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Kami negara Asia dan tahu Australia, Scotland serta England adalah kuasa besar dalam boling padang, tetapi kami terus berusaha untuk menewaskan mereka," kata Aleena kepada laman rasmi Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Kemenangan Aleena dan Syafiqa hadir menerusi kejayaan menundukkan pasangan tuan rumah Scotland, Caroline Brown-Beth Riva, 2-0 (5-3, 5-1), sekali gus memadamkan peluang gandingan itu untuk mara ke separuh akhir.
"Saya sangat gementar dan skip saya (Syafiqa) juga berasa gementar kerana penyokong mereka sangat bising.
"Tetapi saya sangat menikmati perlawanan ini kerana kami dapat membuktikan Malaysia juga mempunyai pemain boling yang hebat," kata Aleena.
Malaysia akan berdepan gandingan Norfolk Island, Ellie Dixon-Christine Jones dalam aksi terakhir peringkat kumpulan yang dijadualkan berlangsung malam ini (7.45 malam waktu Malaysia), dengan pemenang akan mara ke separuh akhir.
Aksi separuh akhir pula akan berlangsung Selasa (6.40 petang waktu Malaysia).
























