KUALA LUMPUR: Pemenang pingat pertama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026, Bonnie Bunyau Gustin, tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaannya apabila atlet powerlifting negara itu sudah mengalihkan tumpuan kepada sasaran lebih besar iaitu Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, Oktober ini.
Selepas meraih pingat gangsa acara lightweight lelaki di Glasgow, Bonnie pulang ke tanah air hari ini dan disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.
Walaupun gangsa itu menghadiahkan podium pertama buat kontinjen negara di Glasgow, Bonnie menegaskan keputusan itu hanya satu lagi langkah dalam persiapannya menghadapi Sukan Para Asia yang dijadual berlangsung di Jepun dari 18 hingga 24 Oktober ini.
"Bagi Sukan Para Asia, saya akan berlatih dengan lebih gigih sebagai persediaan menghadapi Aichi-Nagoya," kata anak kelahiran Sarawak itu.
Bonnie melakukan angkatan terbaik 220 kilogram (kg) untuk mengumpul 153.5 mata sekali gus menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Sukan Komanwel. Dia tewas tipis kepada atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg dengan 153.9 mata, manakala Roland Ezuruike dari Nigeria meraih 153.9 mata menerusi angkatan 185kg.
Mordi menyifatkan kejayaan Bonnie sebagai bukti disiplin serta semangat juang tinggi yang menjadikannya antara atlet negara paling konsisten di pentas antarabangsa.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Bonnie kerana menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Glasgow. Saya berbangga kerana sebagai anak Sarawak, saya berpeluang menyambut kepulangan seorang lagi anak Sarawak yang membawa pulang pingat pertama negara pada temasya ini.
"Ini membuktikan disiplin dan semangat juangnya yang membolehkan dia memenangi pingat ini," katanya.
Mordi turut berharap kejayaan Bonnie menjadi pembakar semangat kepada atlet Malaysia yang masih meneruskan saingan di Scotland untuk menamatkan kempen dengan cemerlang.
"Saya harap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada atlet lain. Masih ada beberapa hari lagi saingan di Glasgow dan saya mendoakan yang terbaik buat semua atlet yang masih bertanding. Teruskan berjuang dan semoga mereka pulang bersama pingat yang kita harapkan untuk Malaysia," katanya.
























