BH Online
Ringkasan Berita

Shah Firdaus mampu cipta kejutan di Glasgow

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara, John Beasley mengingatkan peminat supaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan pemegang rekod dunia dari England, Matthew Richardson, sebaliknya turut memberi perhatian kepada peluang Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Shah Firdaus mampu cipta kejutan di Glasgow

Muhammad Shah Firdaus Sahrom dilihat bakal memberikan saingan sengit dalam acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026. Foto: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara, John Beasley mengingatkan peminat supaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan pemegang rekod dunia dari England, Matthew Richardson, sebaliknya turut memberi perhatian kepada peluang Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menurut Beasley, walaupun Shah Firdaus masih belum kembali ke prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan lutut pada penghujung tahun lalu, pelumba berusia 30 tahun itu memiliki kelajuan maksimum yang cukup baik untuk mencipta kejutan dalam acara yang terkenal dengan sifatnya yang sukar dijangka.

"Shah masih banyak kekurangan dalam acara pecut individu kerana dia belum memperoleh semula pecutan awal yang dimilikinya sebelum ini.

"Bagaimanapun, kelajuan maksimumnya sudah kembali seperti prestasi terbaik yang pernah dicatatkan. Jika dia berada pada kedudukan yang baik ketika perlumbaan, jangan sesekali menolaknya sebagai pencabar, walaupun perlumbaan keirin berlangsung dalam rentak yang pantas.

"Semuanya bergantung kepada keputusan yang dibuat ketika perlumbaan kerana sudah agak lama dia tidak bersaing di peringkat seperti ini.

"Jika dia yakin dengan tindakannya dan tidak terlalu banyak berfikir, dia mampu menjadi ancaman besar dalam acara keirin," kata Beasley.

Shah Firdaus memenangi pingat gangsa acara keirin pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang juga pingat individu pertamanya di temasya sukan utama.

Ketika itu, Azizulhasni tidak mengambil bahagian kerana masih menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan masalah anomali arteri koronari yang dihidapinya sejak lahir.

Mengulas peluang Shah Firdaus dalam acara pecut individu yang akan berlangsung selepas keirin pada Sabtu ini, Beasley mengakui pelumba negara itu dijangka berdepan tugas sukar kerana masih belum mencapai catatan masa yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

"Setakat ini saya rasa dia mencatat sekitar 9.7 saat (s) dalam latihan, tetapi ia masih belum mencukupi untuk bersaing dalam acara pecut individu.

"Untuk benar-benar kompetitif, pelumba perlu mencatat masa sekitar 9.3 hingga 9.4s.

"Namun, catatan 9.7s sudah memadai untuk keirin kerana acara itu tidak terlalu bergantung kepada pecutan awal," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan