KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brendon Carolan enggan menganggap undian di Piala Dunia Hoki 2026 sebagai 'kumpulan maut', sebaliknya melihat ia sebagai peluang terbaik buat Speedy Tigers membuktikan kemampuan menentang pasukan elit dunia.
Menurutnya, Malaysia perlu mengubah mentaliti apabila berdepan lawan bertaraf dunia kerana untuk mencapai sasaran layak ke Sukan Olimpik, mereka perlu mampu menewaskan pasukan terbaik.
"Ia bergantung kepada cara anda melihatnya. Sasaran utama kami adalah Sukan Asia dan India sendiri mampu menewaskan pasukan dalam kelompok lapan terbaik dunia.
"Jadi, jika mahu layak ke Olimpik, kami memang perlu mengalahkan pasukan seperti itu," katanya pada sidang media pengumuman senarai pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Malaysia yang menghuni ranking ke-14 dunia diundi dalam Kumpulan B bersama tiga pencabar handalan iaitu tuan rumah Belgium selaku pasukan nombor satu dunia, Jerman (5) dan Perancis (6), sekali gus menjadikan laluan Speedy Tigers ke suku akhir antara yang paling mencabar.
Mengulas persiapan pasukan, Carolan berkata, skuad negara sudah menjalani program intensif selama 41 hari yang merangkumi saingan Piala Negara-Negara sebelum meneruskan kem latihan di Afrika Selatan.
Menurutnya, fokus ketika ini lebih menjurus kepada pemulihan kecergasan pemain dan latihan taktikal bagi memastikan semua pemain berada pada tahap terbaik.
Speedy Tigers berlepas ke Belgium 3 Ogos ini bagi menjalani fasa akhir persiapan termasuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan zon waktu sebelum mengharungi aksi persahabatan menentang Sepanyol di venue kejohanan pada 13 Ogos.
























