KUALA LUMPUR: Muhamad Aznil Bidin mengakui podium emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 kali ini terasa berbeza berbanding dua kejayaan terdahulu kerana buat pertama kali dia berdiri sebagai juara tanpa kehadiran insan tersayang, iaitu arwah ibunya, Haslina Hamzah.
Namun, badang negara itu percaya doa seorang ibu tidak pernah terputus walaupun insan itu sudah tiada.
Dengan membawa bersama baju panas (sweater) milik arwah sebagai pembakar semangat, Aznil akhirnya mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama meraih hatrik emas pada temasya berprestij itu.
"Untuk dua Sukan Komanwel sebelum ini, arwah mak saya masih ada. Kali ini mak dah tak ada, dia meninggal dunia tahun lalu. Saya bawa sweater arwah ke sini sebagai pembakar semangat.
"Walaupun dah tak ada doa ibu secara depan mata, saya sentiasa yakin doa ibu sentiasa ada bersama saya," katanya dengan nada sebak.
Atlet berusia 32 tahun itu mengungguli kategori 65 kilogram (kg) lelaki selepas mencatat jumlah angkatan keseluruhan 299kg menerusi 133kg dalam snatch dan 166kg dalam clean and jerk di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.
Lebih manis, ketiga-tiga angkatan itu memperbaharui rekod temasya sekali gus melengkapkan hari bersejarah buat Aznil yang kini muncul atlet Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel.
Kejayaan di Glasgow melengkapkan hatrik emas selepas muncul juara di Gold Coast 2018 dan Birmingham 2022, sekali gus mengatasi pencapaian bekas jurulatihnya serta memadam rekod legenda angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang memenangi dua emas pada edisi Manchester 2002 dan New Delhi 2010.
Aznil berkata, misi mempertahankan gelaran bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pencabar hadir dengan persiapan terbaik, namun dia percaya doa keluarga serta rakyat Malaysia menjadi kekuatan utama untuknya.
"Sejujurnya saya risau juga sebab semua lawan berlatih bersungguh-sungguh. Sebab itu saya minta keluarga dan rakyat Malaysia doakan saya. Alhamdulillah, impian untuk buat hatrik akhirnya menjadi kenyataan.
"Empat tahun menunggu untuk setiap Sukan Komanwel bukan tempoh yang singkat. Kita tak tahu apa akan berlaku dalam tempoh itu. Sebab itulah saya sangat bersyukur dapat mempertahankan pingat emas sekali lagi," katanya.
Menurut Aznil, kejayaan memecahkan tiga rekod temasya turut membuktikan perancangan taktikal bersama jurulatih berjalan seperti dirancang.
"Semua menjadi hari ini. Taktikal daripada jurulatih berjalan dengan baik. Dalam snatch saya sudah mendahului agak jauh, jadi untuk clean and jerk kami bermain dengan lebih selamat bagi memastikan emas menjadi milik Malaysia," katanya.
Pingat perak dimenangi Raja Muthupandi dari India dengan jumlah angkatan 286kg, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea membawa pulang gangsa menerusi catatan 282kg.
Kejayaan Aznil melengkapkan hari gemilang skuad angkat berat negara selepas Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam kategori 60kg lelaki, manakala Irene Jane Henry menyumbang gangsa kategori 48kg wanita.
























