BH Online
Ringkasan Berita

Freya harungi endometriosis demi capai impian

GLASGOW: Renang sememangnya antara sukan paling mencabar pada temasya Sukan Komanwel, namun cabarannya menjadi lebih besar apabila seseorang atlet terpaksa berdepan penyakit kronik seperti endometriosis.
Freya harungi endometriosis demi capai impian

Perenang England, Freya Anderson ketika bersaing dalam saringan 7 acara 100m gaya bebas wanita pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Glasgow. – Foto REUTERS

GLASGOW: Renang sememangnya antara sukan paling mencabar pada temasya Sukan Komanwel, namun cabarannya menjadi lebih besar apabila seseorang atlet terpaksa berdepan penyakit kronik seperti endometriosis.

Itulah realiti yang diharungi perenang England, Freya Anderson yang mengimbangi latihan bertaraf elit dengan kesakitan kronik sejak lebih sedekad lalu.

"Apabila saya mula datang haid, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Tiada seorang pun rakan saya mengalami masalah seperti saya. Kesakitan yang teruk, pendarahan. Saya mula mengambil pil perancang hormon ketika berusia 16 tahun, jadi pada usia yang agak muda," katanya kepada BBC.

Anderson, yang memenangi pingat perak acara 4x100 meter gaya bebas berganti-ganti wanita, hanya disahkan menghidap endometriosis tahun lalu ketika menghadiri kem latihan menjelang Kejohanan Dunia.

"Saya berasa lega, tetapi pada masa sama saya sedar perjalanan yang panjang sedang menanti dan saya baru sahaja didiagnosis dengan penyakit kronik yang tiada penawarnya," katanya.

freya27726b
Perenang England, Freya Anderson selepas menamatkan saringan acara 100m gaya bebas wanita semalam. – Foto REUTERS

Endometriosis menjejaskan seorang daripada setiap 10 wanita serta individu yang dilahirkan sebagai perempuan, bermula dari akil baligh hingga menopaus, walaupun kesannya boleh berlanjutan sepanjang hayat.

Di Britain, lebih 1.5 juta individu hidup dengan penyakit itu dan Anderson menjalani pembedahan membuang tisu endometriosis pada Disember 2025.

Menurut Anderson, pembedahan itu banyak membantu, namun dia masih berdepan pelbagai cabaran akibat penyakit berkenaan.

Dia turut menubuhkan inisiatif Fast and Female bagi memberi pendidikan serta sokongan kepada kanak-kanak perempuan, selain membantu mereka terus aktif dalam sukan.

"Apabila simptom saya menjadi lebih teruk, saya dapat melihat kesannya pada kulit, sendi dan lutut. Saya juga mengalami masalah pada bahu akibat berenang kuak lentang.

"Banyak perkara yang perlu saya hadapi pada masa yang sama." – AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan