KUALA LUMPUR: Ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku berkumandang di Scottish Event Campus Armadillo, Mohamad Aniq Kasdan tidak meraikan kejayaannya seorang diri.
Dalam fikirannya hanya ada keluarga serta semua insan yang tidak pernah jemu berdiri di belakangnya sepanjang perjalanan sebagai atlet angkat berat negara.
Sebab itu, sebaik mempertahankan pingat emas kategori 60 kilogram lelaki yang dimenanginya di Birmingham empat tahun lalu, Aniq tanpa berselindung mendedikasikan kejayaan itu kepada keluarga, jurulatih dan seluruh pasukan sokongan yang sentiasa percaya terhadap kemampuannya.
"Motivasi saya hari ini adalah keluarga. Pingat emas ini saya dedikasikan kepada keluarga, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), jurulatih dan semua individu yang sentiasa bersama saya sejak hari pertama saya berlatih. Tanpa mereka saya mungkin tidak berada di sini," katanya.
Kejayaan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila Aniq berdepan detik mencemaskan sejurus sebelum pertandingan bermula apabila kedua-dua belah kakinya mengalami kekejangan ketika sesi memanaskan badan.
"Ketika memanaskan badan kedua-dua belah kaki saya kejang. Memang ketika itu saya terfikir janganlah sampai tidak boleh bertanding. Sebulan sebelum datang ke sini (Glasgow) saya menjalani rawatan otot trisep.
"Tetapi selepas percubaan pertama, saya sudah tidak rasa sakit, jadi saya yakin hari ini mungkin hari saya," katanya ketika dihubungi.
Atlet berusia 24 tahun itu muncul juara dengan jumlah angkatan 273kg, sekali gus menghadiahkan emas pertama Malaysia di Glasgow selain memecahkan dua rekod temasya menerusi angkatan 152kg dalam clean and jerk dan jumlah keseluruhan 273kg biarpun menerima tentangan sengit daripada pencabar India.
Pingat perak dimenangi atlet India, Rishikanta Singh yang mencatat jumlah angkatan 264kg, manakala gangsa menjadi milik Joshua Amunga Mboya dari Kenya dengan catatan 260kg.
Bagi Aniq, kejayaan mempertahankan emas Sukan Komanwel menjadi bukti segala pengorbanan selama ini tidak sia-sia, namun dia sedar cabaran lebih besar masih menantinya.
Hari gemilang skuad angkat berat negara diteruskan apabila Muhamad Aznil Bidin menyumbang emas kedua menerusi kategori 65kg lelaki, manakala Irene Jane Henry menghadiahkan gangsa dalam kategori 48kg wanita, sekali gus melengkapkan hari paling bermakna buat kem angkat berat negara di Glasgow.
























