BH Online
Ringkasan Berita

Ramsay-Peaty ada pelan kebangkitan buru emas

GLASGOW: Adam Ramsay-Peaty mendedahkan dia sudah merangka "pelan" untuk bangkit daripada kekecewaan yang membuatkannya menitiskan air mata dalam acara 100 meter kuak dada Sukan Komanwel, dengan sasaran meraih emas dalam final 50m awal pagi esok.
Ramsay-Peaty ada pelan kebangkitan buru emas

Perenang England, Adam Ramsay-Peaty beraksi pada separuh akhir acara 50m kuak dada lelaki temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Glasgow. – Foto REUTERS

GLASGOW: Adam Ramsay-Peaty mendedahkan dia sudah merangka "pelan" untuk bangkit daripada kekecewaan yang membuatkannya menitiskan air mata dalam acara 100 meter kuak dada Sukan Komanwel, dengan sasaran meraih emas dalam final 50m awal pagi esok.

Perenang berusia 31 tahun itu gagal mempertahankan reputasinya dalam acara yang menjadi kekuatannya apabila sekadar meraih gangsa di belakang Sam Williamson dari Australia dan bintang muda Britain, Filip Nowacki yang menghadiahkan pingat Komanwel pertama buat Jersey dalam tempoh 36 tahun.

Pemenang tiga pingat emas Olimpik itu tidak pernah memenangi kejohanan utama sejak menjuarai 50m kuak dada pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Namun dia pernah bangkit daripada tempoh rehat susulan masalah kesihatan mental untuk memenangi pingat perak 100m kuak dada pada Sukan Olimpik Paris dua tahun lalu.

Sejak itu, Ramsay-Peaty turut berdepan konflik keluarga yang mendapat perhatian ramai selepas berkahwin dengan Holly Ramsay, anak kepada cef terkenal Gordon Ramsay pada Disember lalu.

Ramsay-Peaty yang gagal menahan air mata selepas perlumbaan kelmarin kini berazam mencipta sejarah sebagai perenang pertama England memenangi emas dalam empat edisi Sukan Komanwel berbeza.

Dia mencatat masa ketiga terpantas pada separuh akhir di belakang Williamson dan Michael Houlie dari Afrika Selatan.

"Saya fikir tempoh 24 jam lalu benar-benar penuh dengan pelbagai emosi.

"Dalam sukan, ia bukan mengenai bila anda ditewaskan kerana perkara itu pasti akan berlaku dan anda juga akan melakukan kesilapan.

"Ia mengenai berapa lama anda mengambil masa untuk menerima keadaan itu, menghormatinya dan bangkit semula. Saya sangat gembira dengan perkembangan itu. Saya berada di landasan yang baik untuk perlumbaan esok," katanya.

Ramsay-Peaty berkata dia menyediakan "pelan" sejurus selepas kekecewaan di Glasgow hasil perbincangan bersama isterinya, rakan-rakan dan rakan sepasukan.

"Bagi saya, cara terbaik untuk mengosongkan fikiran apabila ia terlalu berserabut adalah dengan menulis segala-galanya. Saya tulis apa yang tidak menjadi, apa yang menjadi, apa yang boleh saya ubah dan apa yang tidak boleh saya ubah. Dari situ saya ada pelan.

"Malah sekarang saya masih memikirkan apa yang terkandung dalam pelan itu dan bagaimana kami mahu menghadapi final esok. Apakah pendekatan terbaik untuk perlumbaan itu?"

Ramsay-Peaty turut percaya kekurangan persiapan menghadapi kejohanan utama sejak Olimpik Paris dua tahun lalu sedikit menjejaskan prestasinya pada awal temasya kali ini.

Dia sudah mengharungi lima perlumbaan sepanjang tiga hari pertama pertandingan.

"Orang ramai lupa saya tidak mengharungi situasi seperti ini selama dua tahun, malah saya sendiri kadang-kadang terlupa.

"Saya perlu kembali membiasakan diri mengharungi saringan dan final. Ia agak sukar apabila anda sudah lama tidak menghadapinya walaupun sepanjang karier saya, saya sudah biasa dengan situasi ini. Saya fikir itulah sebabnya." – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan