BH Online
Ringkasan Berita

McEvoy ungguli 50m, Ramsay-Peaty sedia bangkit

GLASGOW: Jaguh renang Australia, Cameron McEvoy mengungguli saingan untuk meraih pingat emas individu pertamanya di Sukan Komanwel dalam acara 50 meter gaya bebas, manakala Adam Ramsay-Peaty dari England bangkit mara ke final 50m kuak dada.
McEvoy ungguli 50m, Ramsay-Peaty sedia bangkit

Perenang Australia, Cameron McEvoy (tengah) diapit dua rakan senegaranya Flynn Southam (kiri) dan pemenang pingat gangsa Jamie Jack selepas menjuarai acara 50m gaya bebas lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026. – Foto AFP

GLASGOW: Jaguh renang Australia, Cameron McEvoy mengungguli saingan untuk meraih pingat emas individu pertamanya di Sukan Komanwel dalam acara 50 meter gaya bebas, manakala Adam Ramsay-Peaty dari England bangkit mara ke final 50m kuak dada.

McEvoy memecahkan rekod Sukan Komanwel sambil mengetuai kedudukan 1-2-3 Australia di depan Flynn Southam dan Jamie Jack.

Perenang berusia 32 tahun itu sebelum ini meraih pingat perak dan gangsa dalam acara 50m gaya bebas di Glasgow pada 2014 serta di laman sendiri di Gold Coast empat tahun kemudian.

Juara Olimpik acara 50m itu melakukan permulaan cemerlang untuk menghadiahkan pingat emas Komanwel keempatnya selepas tiga kejayaan dalam acara berganti-ganti, selain memadam rekod temasya berkenaan.

Ramsay-Peaty pula berkata dia sudah mempunyai "pelan" untuk menghadapi final 50m kuak dada awal pagi esok bagi memastikan episod kecewa selepas meraih gangsa dalam final 100m tidak berulang.

Perenang berusia 31 tahun itu memburu gelaran sebagai atlet renang pertama England memenangi emas dalam empat edisi Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, dia hanya mencatat masa ketiga terpantas untuk mara ke final di belakang juara 100m kuak dada, Sam Williamson dan Michael Houlie dari Afrika Selatan.

"Dalam sukan, ia bukan mengenai bila anda ditewaskan kerana perkara itu pasti akan berlaku.

"Ia mengenai berapa lama anda mengambil masa untuk menilai, menerima kekalahan itu dan bangkit semula dan saya sangat gembira dengan perkembangan itu. Saya berada di landasan yang baik untuk esok," kata Ramsay-Peaty.

Lani Pallister menghadiahkan emas kedua buat dirinya pada temasya kali ini selepas mendominasi perlumbaan 1,500m wanita.

Turut mencuri tumpuan adalah kejutan dalam acara 100m kuak lentang wanita apabila perenang Australia berusia 20 tahun, Iona Anderson menewaskan pilihan utama dari Kanada, Kylie Masse.

Australia turut meneruskan penguasaan dalam acara berganti-ganti apabila memenangi 4x200m gaya bebas lelaki.

Namun kepelbagaian pemenang di kolam renang semakin ketara apabila Australia tidak lagi menguasai sepenuhnya semua acara.

Pieter Coetze dari Afrika Selatan menambah emas dalam acara 200m kuak lentang selepas menjuarai 50m kelmarin.

Josh Liendo dari Kanada pula menewaskan Matthew Temple dari Australia dengan kelebihan hanya satu perseratus saat untuk memenangi 100m kupu-kupu lelaki.

Tuan rumah Scotland turut bergembira apabila Angharad Evans melakukan kebangkitan lewat untuk memenangi emas dalam acara 100m kuak dada wanita.

Scotland, Kanada unggul dalam gimnastik

Reuben Ward turut menghadiahkan emas buat Scotland dalam final gimnastik individu all-around lelaki.

Atlet berusia 21 tahun itu menewaskan Felix Dolci dari Kanada dengan kelebihan hanya 0.200 mata, manakala Jesse Moore dari Australia meraih gangsa.

"Saya tahu saya mampu melakukannya, tetapi benar-benar berjaya melakukannya adalah sesuatu yang luar biasa. Apabila markah dipaparkan, saya hanya dipenuhi kegembiraan.

"Luar biasa! Saya amat bertuah berada di kedudukan ini. Saya tidak mungkin berada di sini tanpa keluarga dan rakan sepasukan. Ia seperti mendaki sebuah gunung," kata Ward.

Dolci, yang membantu Kanada memenangi emas berpasukan, dua kali terjatuh di alat kekuda berpelana dalam rutin pembukaannya sebelum bangkit dengan lima persembahan hampir sempurna untuk hampir merampas gelaran.

"Saya mahu menunjukkan segala-galanya belum berakhir selagi ia belum benar-benar berakhir. Itulah sesuatu yang sangat saya hargai dan saya gembira dapat membuktikannya," kata Dolci.

Kanada turut meraih emas dalam final individu all-around wanita menerusi Ellie Black yang menewaskan Breanna Scott dari Australia dan rakan senegaranya yang berusia 16 tahun, Lia-Monica Fontaine.

"Saya sangat bangga. Matlamat saya bukan untuk datang dan menang. Saya hanya mahu kembali bersaing.

"Dapat muncul juara adalah bonus. Saya sukakan Sukan Komanwel, sangat menyeronokkan berada di sini," kata Black yang berusia 30 tahun.

Dalam aksi terbesar peringkat kumpulan bola jaring, Australia mencatat kemenangan meyakinkan 66-47 ke atas England.

New Zealand pula menewaskan Jamaica 53-48 dalam satu lagi pertembungan menarik Kumpulan B. – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan