KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel selepas mengungguli kategori 65 kilogram (kg) lelaki pada edisi Glasgow 2026, sebentar tadi.
Atlet berusia 32 tahun itu menampilkan aksi cemerlang apabila merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 299kg menerusi 133kg dalam snatch dan 166kg dalam clean and jerk di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo di Glasgow.
Lebih manis, ketiga-tiga catatan Aznil berjaya memecahkan rekod temasya sekali gus melengkapkan hari gemilang buat dirinya.
Kejayaan itu menyaksikan Aznil melakar hatrik gelaran Sukan Komanwel selepas muncul juara kategori 62kg pada edisi Gold Coast 2018 sebelum mempertahankan emas menerusi kategori 61kg di Birmingham 2022.
Sebelum ini, Aznil menyamai pencapaian Amirul Hamizan Ibrahim yang mengumpul dua pingat emas Sukan Komanwel pada edisi Manchester 2002 dan New Delhi 2010, sebelum melakar sejarah baharu dengan meraih emas ketiga di Glasgow.
Pingat perak kategori berkenaan menjadi milik atlet India, Raja Muthupandi yang merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 286kg menerusi 126kg dalam snatch dan 160kg dalam clean and jerk, manakala Morea Baru dari Papua New Guinea meraih gangsa dengan catatan 282kg hasil angkatan 125kg snatch dan 157kg clean and jerk.
Kejayaan Aznil menambah koleksi pingat Malaysia dalam acara angkat berat selepas Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan emas pertama negara menerusi kategori 60kg lelaki, manakala Irene Jane Henry menyumbang gangsa dalam kategori 48kg wanita.
























