KUALA LUMPUR: Kedah mengesahkan status sebagai kuasa baharu ragbi remaja negara apabila muncul juara berganda kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Ragbi NRDP Kebangsaan 7's Bawah 18 Tahun (B-18) 2026 di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) itu menghimpunkan 32 pasukan membabitkan 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bawah 18 tahun dari seluruh negara.
Selain medan persaingan, kejohanan berkenaan turut menjadi pentas pemilihan terakhir pemain bagi membentuk skuad kebangsaan B-18 yang akan beraksi di Kejohanan Ragbi Asia 7's 2026 di Qingdao, China pada September depan.
Dalam aksi final lelaki, Kedah menewaskan Selangor 24-5 untuk merangkul kejuaraan, manakala Johor di tempat ketiga dan Negeri Sembilan keempat.
Kedah turut unggul dalam kategori wanita selepas mengatasi Johor 17-7 dalam aksi final.
Melaka menduduki tempat ketiga, manakala Pahang melengkapkan kelompok empat terbaik.
Sebagai persiapan ke kejohanan Asia, KRM akan mengadakan dua siri kem latihan pusat di UPM sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Qingdao.
Badan induk itu turut melantik Mohd Syahir Asraf Rosli dan Rozliana Ridwan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 18 tahun lelaki dan wanita.
























