GLASGOW: Atlet gimnastik Scotland, Reuben Ward mencipta sejarah buat negara tuan rumah apabila meraih pingat emas acara all-around lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.
Ward, 21, muncul atlet pertama Scotland memenangi pingat dalam acara all-around lelaki di temasya itu selepas mengetepikan cabaran sengit gimnas Kanada, Felix Dolci dengan kelebihan tipis 0.200 mata.
Pingat gangsa menjadi milik wakil Australia, Jesse Moore.
"Saya tahu saya mampu melakukannya, tetapi untuk benar-benar mencapainya adalah sesuatu yang luar biasa. Apabila keputusan dipaparkan, saya hanya dipenuhi rasa gembira," kata Ward.
Kejayaan itu hadir selepas Ward kecewa apabila Scotland terlepas peluang menaiki podium dalam acara berpasukan pada Jumaat lalu, namun dia berjaya menebus kekecewaan itu dengan kejayaan bersejarah.
Sementara itu, juara Olimpik tiga kali, Adam Ramsay-Peaty kembali ke kolam renang dengan misi menebus kekecewaan selepas sekadar meraih gangsa acara 100 meter (m) kuak dada.
Perenang England itu yang gagal memenangi emas pada edisi keempat Sukan Komanwel berturut-turut sebelum ini dilihat sebak selepas kekalahan berkenaan, malah mempersoalkan masa depannya dalam acara 100m.
Namun, Ramsay-Peaty kembali memberi tumpuan kepada acara 50m kuak dada yang lebih menepati kekuatannya, walaupun hanya mencatat masa kelima terpantas dalam saringan separuh akhir.
Dalam saingan bola jaring, juara bertahan Australia menampilkan aksi dominan apabila menewaskan England 66-47 dalam perlawanan peringkat kumpulan, selepas mendahului 35-24 pada separuh masa.
England yang sebelum ini membelasah Ireland Utara 84-35 perlu menewaskan Malawi Isnin ini dan mencatat kemenangan ke atas Afrika Selatan pada aksi terakhir kumpulan bagi menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.
























