BH Online
Ringkasan Berita

Misi serampang dua mata Azizulhasni

KUALA LUMPUR: Acara keirin kekal menjadi sasaran utama buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang namun peluang memburu pingat dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa individu turut dilihat mampu menghadirkan kilauan tambahan buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2026.
Misi serampang dua mata Azizulhasni

Fokus utama tetap diberikan kepada keirin, namun Azizulhasni dilihat berupaya mencabar kedudukan podium dalam acara ujian masa sekiranya berada pada tahap terbaik. Foto: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Acara keirin kekal menjadi sasaran utama buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang namun peluang memburu pingat dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa individu turut dilihat mampu menghadirkan kilauan tambahan buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2026.

Pengarah teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley berkata, fokus utama tetap diberikan kepada keirin, namun percaya Azizulhasni berupaya mencabar kedudukan podium dalam acara ujian masa sekiranya berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, peluang jaguh berusia 38 tahun itu banyak bergantung kepada prestasinya dalam acara pecut individu yang berlangsung sehari sebelum saingan ujian masa.

"Kami meletakkan sepenuh tumpuan kepada keirin, namun Azizul juga akan beraksi dalam acara kilo pada hari terakhir pertandingan.

"Jika Azizul mara jauh dalam acara pecut individu, saya rasa peluangnya dalam acara kilo (ujian masa) mungkin sedikit terjejas kerana faktor keletihan.

"Namun, jika dia tidak melangkah jauh dalam pecut individu, saya percaya dia mampu memberikan cabaran sengit dalam acara kilo.

"Saya yakin dia mampu mencatat masa sekitar seminit. Sama ada ia cukup pantas untuk memenangi emas, saya tidak pasti.

"Jika dia berjaya mencatat bawah seminit, yang saya percaya berada dalam kemampuannya, saya fikir dia pasti berada di podium. Bagaimanapun, dia perlu memecahkan rekod kebangsaan untuk melakukannya.

"Apapun, Azizul ialah Azizul. Dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa pada hari pertandingan. Ketika ini dia berada dalam keadaan yang sangat baik, jadi kita tunggu dan lihat," kata Beasley.

Azizul dijadual memulakan cabarannya menerusi acara keirin pada 31 Julai, diikuti pecut individu sehari kemudian sebelum menamatkan saingan dengan acara 1km ujian masa individu pada 2 Ogos.

Bekas juara dunia keirin itu tidak pernah beraksi dalam acara 1km ujian masa di pentas kejohanan utama sejak lebih sedekad lalu.

Rekod kebangsaan acara 1km ujian masa individu ketika ini masih menjadi milik Muhammad Fadhil Zonis menerusi catatan satu minit 0.305 saat yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin.

Video Terkini

Berita Berkaitan